JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri sedia mempertimbangkan cadangan Barisan Nasional (BN) Johor supaya Pasir Gudang dan Pengerang dijadikan sebagai daerah baharu di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata namun dalam mewujudkan daerah baharu, terdapat beberapa perkara sensitif yang perlu diperhalusi dan dibincangkan dengan pelbagai pihak.

"Jika ia boleh dilaksanakan, insya-Allah akan dilaksanakan," katanya selepas Majlis Perjumpaan Pengarah Pilihan Raya BN Bersama Jentera Pilihan Raya BN Johor, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai cadangan Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad yang mencadangkan supaya kerajaan negeri mempertimbangkan untuk mengiktiraf dua kawasan berkenaan sebagai daerah baharu susulan telah menepati kriteria yang diperlukan.

Hasni, yang juga bekas Menteri Besar, berkata selain itu, ia adalah sebahagian daripada Ikhtiar Reformasi Politik yang dilancarkan BN semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac lepas.

Johor mempunyai 10 daerah iaitu Johor Bahru, Pontian, Kluang, Batu Pahat, Kota Tinggi, Mersing, Kulai, Segamat, Muar dan Tangkak.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang hadir pada majlis perjumpaan berkenaan, berkata secara umumnya, jentera BN di sembilan buah negeri kini sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau, yang juga Pengarah Pilihan Raya BN, berkata ini berdasarkan penilaiannya terhadap tahap kesiapsiagaan jentera parti di negeri-negeri yang telah dikunjungi.

Katanya sembilan negeri berkenaan adalah Johor, Kedah, Kelantan, Perlis, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Sabah dan Pulau Pinang.

-- BERNAMA