MELAKA: Jonker Walk bukan nama asing dalam industri pelancongan di Melaka.

Pemerhatian Astro AWANI mendapati industri pelancongan di Jonker Walk, Melaka sepi dan suram sehubungan 95 peratus premis yang beroperasi di kawasan ini terpaksa ‘gulung tikar’ ekoran pelaksanaan Fasa Pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak 1 Jun lalu.

Penutupan sektor pelancongan menyebabkan pemilik dan penyewa premis terjejas teruk akibat hilang punca pendapatan.

Antara premis yang terjejas termasuk kedai serbaneka 24 jam, farmasi ternama, restoran, hotel, inap desa dan peniaga gerai.

Turut terkesan ialah penarik beca yang membawa pelancong bersiar di sekitar Jonker Walk dan sekitar Bandar Hilir.

Kebanyakan premis pula mempamerkan kain rentang dan papan iklan untuk dijual atau disewa.

BACA: Lapan pakej rangsangan manfaatkan lebih 20 juta rakyat, 2.4 juta perniagaan - PM

BACA: Moratorium PEMULIH dianggar RM80 bilion, Malaysia negara tunggal laksanakan kali kedua

BACA: Kerajaan memperuntukkan RM147.1 bilion bantu PKS, sejak 2020 - PM

Menurut Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Jonker Street, Datuk Gan Tian Lo, sejak penutupan sektor pelancongan, peniaga di kawasan terbabit mengalami kerugian dipercayai mencecah jutaan ringgit.

Jelasnya, daripada lebih 100 premis yang wujud di kawasan terbabit, hanya 20 premis yang masih beroperasi dalam keadaan hidup segan mati tak mahu.

“Jonker Walk ini merupakan kawasan tumpuan wajib pelancong yang mana ianya juga memberi hasil cukai yang tinggi kepada kerajaan negeri, (penutupan) ini akan memberi impak besar kepada pelancongan negeri.

"Penarik beca sudah hampir enam  bulan tidak bekerja dan bantuan untuk mereka tidak mencukupi," katanya.

Beliau menambah, usaha dijalankan untuk menghidupkan Jonker Walk termasuk melakukan promosi secara dalam talian, namun kurang berhasil.

Menurut Tian Loo lagi, perjumpaan bersama Persatuan Penjaja dan Peniaga Jonker Walk dan beberapa pengusaha kedai di kawasan itu bagi membantu untuk menyelesaikan masalah dihadapi telah diadakan.

Dalam pertemuan itu ujarnya, mereka mengadu harga sewaan yang tinggi menyebabkan mereka tidak dapat meneruskan operasi.

Berikutan itu, beliau memohon kerajaan mengurangkan kadar cukai taksiran kepada pemilik bangunan bagi membolehkan mereka mengurangkan bebanan ditanggung.

Meskipun ada beberapa pemilik premis yang mengurangkan kadar sewaan sehingga 30 peratus katanya, ia belum memadai untuk penyewa meneruskan perniagaan masing-masing.

“Saya menyeru kepada Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Melaka untuk memberi bantuan kepada pemilik kedai dan juga penjaja di kawasan Jonker Walk termasuk penarik beca,” tambahnya.