Kerajaan negeri Sarawak menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak kini sedang menjejaki 365 kontak rapat COVID-19 di Kuching.

Mereka merupakan sebahagian daripada 2,554 senarai kontak rapat yang telah dikenal pasti di bahagian tersebut.

Perkara itu disahkan Pengerusi JPBNS, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menerusi sidang media harian COVID-19 di Kuching pada Rabu.

Menurutnya, usaha menjejaki itu penting dalam memastikan keselamatan orang awam terjamin selain gelombang kedua wabak itu dapat ditangani sebaiknya.

“Penting untuk menjejaki kesemua 365 kontak rapat ini tetapi ada dalam kalangan mereka yang sudah meninggalkan negeri Sarawak.

“Bagaimanapun usaha menjejaki mereka yang masih berada di Kuching akan terus dijalankan oleh JPBNS,” ujarnya.

Tambahnya daripada jumlah itu, 86 peratus telah berjaya dihubungi dan setelah disaring, 16 orang didapati positif COVID-19.

Menurut Uggah, laporan itu dikeluarkan Jawatankuasa Bertindak (contact tracing) yang diketuai oleh Dr. Jamilah Hashim, mantan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS).

BACA: Tujuh hari berturut-turut Sarawak tiada kes baharu COVID-19