MELAKA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengambil tindakan susulan terhadap mana-mana kenderaan komersial yang terbabit dalam kemalangan sekiranya didapati gagal mematuhi aspek teknikal ditetapkan dalam Laporan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) jabatan itu.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim berkata pelbagai aspek diteliti termasuk melakukan semakan tempoh akhir kenderaan itu melakukan pemeriksaaan berkala di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

"Selain itu, kita juga akan melihat dari segi struktur kenderaan itu sama ada ia melebihi 35 peratus berat dengan muatan (BDM) yang dibenarkan dan sekiranya didapati bersalah, individu terlibat boleh dikenakan didenda sehingga RM500,000 di bawah Sekyen 57(1)(b)(vi) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

"Saya juga ingin mengingatkan kenderaan komersial seperti lori atau treler supaya tidak mengejar 'trip' atau bawa barang lebih muatan kerana ia akan mempengaruhi kenderaan ketika dibrek dan hukuman yang diberikan juga sangat tinggi, namun apa lebih utama kita amat metitikberatkan keselamatan nyawa pengguna jalan raya yang lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Ulang Tahun ke-20 Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia (APJM) di Tiang Dua, Ayer Molek di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas berhubung kejadian kemalangan melibatkan sebuah lori dan tiga kereta di Kilometer 45.7 Lebuh Raya Utara Selatan arah Selatan berdekatan dengan Sedenak, Johor pada Sabtu lepas.

Dalam pada itu, beliau juga berkata JPJ akan mengetatkan pemeriksaan terhadap kenderaan sukan permotoran di negara ini bagi mengelakkan sebarang insiden berulang seperti kejadian yang mengorbankan nyawa seorang pemandu di Litar Perlumbaan Terengganu, Gong Badak, Terengganu baru-baru ini.

Beliau berkata pihaknya akan meningkatkan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan setiap pelumba menitikberatkan aspek pemeriksaan teknikal kenderaan sebelum menyertai mana-mana perlumbaan.

"Kita tidak pernah pandang ringan perkara ini kerana kita tahu sukan permotoran seumpama ini sememangnya berbahaya dan berisiko tinggi berbanding mengendalikan kenderaan biasa," katanya.

Sementara itu, Zailani berkata JPJ menerusi APJM sebagai Pusat Kecemerlangan Pengangkutan Jalan telah membangunkan pelan tindakan Organisasi Berprestasi Tinggi (HPO) menggunakan pendekatan berfokuskan pembangunan bakat yang kompeten dan profesional.

"Ia termasuk merangka strategi pembangunan kurikulum yang memfokuskan kepada Pembangunan Kompetensi Profesionalisme serta Pentauliahan dan Pensijilan Pekerjaan bagi aktiviti pengangkutan jalan," katanya.

-- BERNAMA