MELAKA: Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) sedang dalam perancangan menguatkuasakan beberapa syarat baharu kepada pendaki yang ingin memasuki Hutan Simpan Kekal (HSK) di Semenanjung termasuk menggunakan khidmat Malim Gunung Perhutanan (MGP), mulai tahun hadapan.

Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia Datuk Indera Mohd Ridza Awang berkata penggunaan MGP akan disyaratkan khususnya melibatkan aktiviti pendakian di HSK berisiko bagi memastikan keselamatan pendaki terjamin dan mengurangkan kejadian kemalangan semasa aktiviti pendakian.

"Bagaimanapun pelaksanaan cadangan itu bergantung pada persetujuan kerajaan negeri dan tidak melibatkan semua 211 HSK yang dikenal pasti sebagai kawasan pendakian di seluruh Semenanjung.

"Jabatan Perhutanan negeri telah diarahkan untuk mengenal pasti HSK berisiko yang perlu menggunakan perkhidmatan MGP dan kita akan cuba untuk jadikan ia sebagai satu syarat untuk pendakian selain mendapatkan permit mendaki kerana HSK kita dikategorikan sebagai hutan tertutup," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Kursus Asas MGP Negeri Melaka pada Selasa.

Turut hadir Pengarah Perhutanan Negeri Melaka Khairun Nizam Abdul Rahim dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka Abu Bakar Katain.

Indera Mohd Ridza berkata syarat juga mungkin ditetapkan bagi pengunaan seorang Malim Gunung Perhutanan (MGP) bagi nisbah sekumpulan tujuh pendaki dalam memastikan kawalan dan pengurusan aktiviti pendakian yang lebih lancar dan teratur.

Menurut beliau dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, lebih 400 kemalangan dilaporkan berlaku melibatkan aktiviti pendakian di HSK di seluruh Semenanjung.

"Kita dapat lihat peningkatan tinggi dari segi penglibatan masyarakat dalam aktiviti rekreasi HSK terutama selepas sempadan negara dibuka kerana sebelum ini aktiviti rekreasi tidak dibenarkan susulan penularan COVID-19, selain ketidakpatuhan peraturan apabila pendaki masuk ke HSK tanpa kebenaran," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata tiada pertindihan fungsi di antara MGP dan jurupandu alam semula jadi yang dilatih Jabatan Perhilitan kerana MGP memberi tumpuan dalam pengurusan pendakian berisiko di kawasan HSK manakala jurupandu alam semulajadi berperanan menjalankan aktiviti pendidikan alam semula jadi di kawasan taman negara dan kawasan semulajadi lain.

"Perkara ini telah dibincangkan dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) pada Jun lepas dan mereka menyambut baik usaha JPSM memperkenalkan MGP yang dilihat sebagai inisiatif memperkembangkan lagi produk ekopelancongan baharu berasaskan alam semula jadi serta memperkukuhkan aktiviti ekonomi penduduk setempat selaras dengan agenda Dasar Pelancongan Negara 2020-2030," katanya.

Terdahulu, beliau berkata kira-kira 1,000 MGP disasar dilatih menerusi Kursus Asas MGP yang dilaksanakan di setiap negeri secara berperingkat menjelang akhir tahun ini.

Katanya sehingga kini, seramai 750 MGP telah dilatih menerusi 23 siri kursus asas yang dilaksanakan bermula 2020 susulan kadar kemalangan dan kematian yang tinggi dalam aktiviti pendakian dan aktiviti rekreasi.

-- BERNAMA