IPOH: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman mencatatkan rampasan ketamin terbesar pertama tahun ini selepas merampas dua tan dadah tersebut yang dianggar bernilai RM111.2 juta di sebuah kilang di kawasan perindustrian di Pusing, dekat Batu Gajah.

Pengarahnya Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata serbuan di premis yang dijadikan makmal memproses dadah itu dilakukan pihaknya bersama JSJN Perak bermula 1.30 tengah hari Khamis lepas hingga 5.45 pagi Jumaat.

"Dalam serbuan itu, kita menahan tiga lelaki berusia lingkungan 28 hingga 40 tahun yang dipercayai terlibat dengan sindiket memproses dan mengedar ketamin bagi pasaran tempatan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata selain ketamin itu, pihaknya turut merampas sejumlah bahan kimia dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah.

Katanya jumlah dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh seramai 6.7 juta penagih dan siasatan awal mendapati sindiket itu dipercayai mula aktif sejak pertengahan tahun lepas.

"Modus operandi sindiket ini ialah menjadikan kilang di kawasan perindustrian sebagai makmal untuk memproses dadah bagi mengaburi pihak berkuasa," katanya.

Ayob Khan berkata pihaknya turut menyita pelbagai aset sindiket yang dianggarkan bernilai kira-kira RM201,307.50 membabitkan enam kenderaan, barangan kemas dan wang tunai.

Menurutnya saringan awal air kencing mendapati dua daripada lelaki tersebut positif ketamin selain mempunyai pelbagai rekod jenayah dan dadah.

Kesemua mereka direman hingga esok bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata pihaknya sedang mengesan tiga lagi lelaki yang disyaki terlibat dalam sindiket tersebut iaitu Azrul Safuan Mohd Puaad, 28, Mohamad Qaiyyum Mohamad Azhar, 23, serta S.Patmanathan, 44.

"Siasatan awal mendapati mereka memainkan pelbagai peranan antaranya tukang masak yang dilatih, penyewa premis dan ejen sindiket," katanya dengan menambah orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kesemua lelaki itu diminta menyalurkannya kepada pihak polis.

-- BERNAMA