PUTRAJAYA: Perbadanan Putrajaya (PPj) mengeluarkan notis amaran kepada sebuah gerai makanan di Bazar Ramadan Putrajaya, Presint 3 di sini susulan isu kebersihan makanan seperti yang tular di media sosial sejak kelmarin.

Pengarah Bahagian Kesihatan Persekitaran, Jabatan Perkhidmatan Bandar, Mohd Helmi Abdul Hamid berkata, notis itu dikeluarkan dibawah UUK 30(1)(c), Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WP Putrajaya) 2016.

"Notis itu dikeluarkan bersabit dengan kesalahan di mana pemegang lesen gagal memastikan kawasan tapak menjaja dalam keadaan bersih.

"Bahagian Kesihatan Persekitaran Perbadanan Putrajaya telah membuat pemantauan dan pemeriksaan rapi di keseluruhan kawasan dan gerai Bazar Ramadan Putrajaya di Presint 3 termasuk gerai yang terlibat dengan isu kebersihan seperti mana viral di laman sosial media," katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Khamis. 

Sebelum ini, tular satu video berdurasi 90 saat yang memaparkan mee berlauk sotong yang dikenali sebagai 'Mee Tonggek' berharga RM30 yang dibeli di bazar berkenaan dicemari dengan ulat.

Video dikongsi menerusi aplikasi TikTok itu tular di media sosial sejak kelmarin sehingga mendapat kecaman dan kritikan netizen.

Setakat ini, video itu telah ditonton lebih 182,000 dan dikongsi lebih 22,000 kali. 

Menurut pemilik akaun itu yang dikenali sebagai meximus_takasima33, dia berkunjung ke bazar tersebut pada petang Rabu lalu dan singgah di satu gerai menjual mee yang dikunjungi ramai pelanggan.

"Saya pergi ke gerai yang paling viral, gerai itu ramai pekerja dan pembeli, size (portion) makanan yang diberi pun besar-besar. Saya beli satu juadah saja sebab tidak mahu membazir. Saya siap minta cili lebih lagi.

"Tengoklah sotong yang diberi sebesar alam, panas-panas lagi. Tak tipu, pukul 5.20 petang saya beli dengan harga RM30, ada ulat.

"Kalau RM30 tak sedap tak sedap, saya boleh terima, tapi RM30, dapat ulat ... nak berbuka puasa," ujarnya sambil menggesa PPj untuk mengambil tindakan ke atas pemilik kedai tersebut.