SEMENYIH: Usia muda bukan halangan buat seseorang individu untuk berjaya dalam bidang perniagaan meskipun hanya mengusahakan jualan air jagung.

Siapa sangka, dengan modal permulaan sebanyak RM300 hasil pekerjaan terdahulu, Muhammad Amin Syarifuddin Aziz yang baru berusia 21 tahun kini mampu menjana pendapatan lima angka sebulan.

Bukan tidak pernah kecundang, namun pengalaman sejak mula bertapak dalam perniagaan seawal usia 19 tahun banyak mengajar Muhammad Amin untuk kembali bangkit.

Bulan Ramadan juga membuka ruang buat dirinya memperoleh pendapatan lebih dengan berniaga di bazar Ramadan di Taman Pelangi Semenyih.

Walaupun masih di usia muda, Muhammad Amin mempunyai pekerja sendiri dalam kalangan rakan-rakan sebayanya, dengan harapan mereka akan berminat untuk menceburi bidang perniagaan.

Tidak salah untuk berseronok di usia muda namun soal masa depan  lebih menjadi keutamaan

Kisah ini bukan hanya bertujuan mengetengahkan kejayaan anak muda ini, sebaliknya lebih untuk dijadikan inspirasi dan galakan buat golongan muda di luar sana menceburi bidang sama.

“Saya tak minta mereka jual air macam saya, berniaga di merata tempat, tetapi apa yang lebih penting, bagi saya, adalah soal masa depan.

“Bukan nak halang anak muda untuk enjoy, sebab saya sendiri pun masih enjoy, tetapi fikirkan masa depan, jana pendapatan awal, itu lebih penting.

“Saya harap supaya mereka (anak muda) jangan takut untuk mencuba kerana setiap permulaan langkah kita itu boleh jadi penentu,” katanya ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini.

Jualan air jagung yang hampir setiap hari habis dijual

Dalam pada itu, Muhammad Amin mengakui bukan mudah untuk memulakan perniagaan pada peringkat awal namun baginya setiap kesilapan mampu membuka matanya untuk terus melangkah ke depan.

Jualan air jagung yang hanya dijual sebanyak 60 botol sehari, tanpa disangka kini mendapat permintaan sehingga 400 botol sehari.

Kreativiti dan konsep perniagaan jadi faktor utama untuk memikat hati pelanggan

Bagaimanapun keadaan itu tidak sesekali membuatkan dirinya mudah untuk lupa diri kerana sedar pengalamannya dalam bidang berkenaan masih kurang selain masih menganggap dirinya di fasa permulaan.

Menyedari saingan yang agak tinggi di bazar Ramadan, Muhammad Amin percaya anak muda mempunyai daya kreatif yang tinggi serta konsep yang mampu memikat hati pelanggan sekali gus membawa kelainan dalam kalangan pesaing lain.

Jauh di sudut hati Muhammad Amin sebenarnya mengharapkan lebih ramai golongan anak muda di luar sana menggiatkan diri sebagai usahawan muda berbanding terlibat dengan aktiviti yang tidak berfaedah.

Usahawan Muda | Pendapatan cecah lima angka sebulan seawal usia 21 tahun