KUALA LUMPUR: Sebuah premis di Bandar Baru Sungai Buloh yang didakwa menjual 'daging rusa' palsu diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Menurut Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Azman Adam, serbuan dilakukan susulan aduan daripada seorang pengguna berkaitan daging tersebut disyaki bukan daging rusa sebenar seperti dipromosikan peniaga terbabit di platform perniagaan dalam talian.

"KPDNHEP telah menjalankan siasatan dan melakukan uji beli daging rusa tersebut dan sampel daging rusa itu telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk ujian kecerakinan ke atas sampel daging rusa terbabit.

"Hasil laporan kimia yang telah dikeluarkan mendapati, sampel daging rusa tersebut adalah merupakan daging kerbau berdasarkan DNA yang dikesan melalui sampel itu dan bukan daging rusa seperti yang dipromosikan oleh peniaga terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Azman berkata, hasil serbuan menemukan beberapa ketul daging sejuk beku yang dinyatakan daging rusa oleh pemilik premis di dalam sebuah peti sejuk beku dalam bentuk ketulan seberat 1 kilogram setiap satu.

"Kesemua daging tersebut bersama dokumen-dokumen perniagaan telah disita bagi tujuan siasatan lanjut dan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM7,004.00.

"Siasatan awal mendapati, modus operandi peniaga terbabit adalah menjual dan mengiklankan daging rusa sejuk beku secara dalam talian untuk pasaran tempatan pada harga RM42.00 sekilogram.

"Satu kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 5(1)(b) Larangan Perihal Dagangan Palsu iaitu membekalkan atau menawarkan untuk membekalkan apa-apa barang-barang yang baginya
suatu perihal dagangan palsu digunakan," ujarnya.

Justeru itu, Azman memberi amaran kepada mana-mana individu atau syarikat agar lebih bertanggungjawab dalam menjalankan aktiviti perniagaan sama ada secara dalam talian mahupun fizikal.

"Jangan membuat sebarang pengiklanan yang boleh mengelirukan pengguna dengan niat untuk melakukan penipuan.

"Pengguna juga dinasihatkan agar lebih berhati-hati di dalam melakukan pembelian sama ada secara dalam talian atau fizikal agar tidak terpedaya dengan tawaran dan iklan yang mengelirukan oleh segelintir peniaga yang tidak bertanggungjawab ini," jelasnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung salah laku peniaga yang tidak beretika seperti ini boleh mengemukakan aduan melalui saluran rasmi Whatsapp 019-279 4317, Ez ADU KPDNHEP, Portal e-aduan.kpdnhep.gov.my, Call Centre 1-800-886-800, Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6088/6245, Emel [email protected].