KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan sedang menyiasat dakwaan penjualan saham mencurigakan hak milik pengurusan Menara Kuala Lumpur (Menara KL).

Suruhanjaya itu dalam satu kenyataan memaklumkan, tiga orang saksi telah dipanggil setakat ini.

Selain itu, SPRM turut mendapatkan beberapa dokumen daripada pihak-pihak berkaitan untuk diteliti.

"SPRM akan menyiasat sama ada wujudnya elemen rasuah dalam penjualan 100 peratus saham Telekom Malaysia (TM) di dalam Syarikat Menara KL Sdn Bhd (MKLSB) kepada Hydroshoppe Sdn Bhd (HSB) pada Oktober 2022," kata kenyataan itu.

Tegas SPRM, siasatan akan dijalankan secara terperinci dan profesional daripada semua sudut berkaitan isu tersebut.

Isu pengambilalihan pengurusan Menara KL tular di media sosial apabila orang ramai mempersoalkan keputusan TM, melalui anak syarikatnya, MKLSB memindahkan pemilikan penuh mereka kepada syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd pada Oktober lalu.