KUALA LUMPUR: Polis menahan tiga lelaki kerana disyaki terlibat dalam aktiviti judi dalam talian yang mampu meraih kuntungan sehingga RM100,000 sebulan, di sebuah pangsapuri di sekitar Sentul, di sini, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata kesemua lelaki berumur dalam lingkungan 19 hingga 54 tahun itu ditahan hasil serbuan ke atas pangsapuri itu pada 12 tengah hari dan polis merampas beberapa peralatan komputer, telefon bimbit pelbagai jenama, modem komputer, beberapa rangkai kunci rumah dan kad akses.

Beliau berkata kesemua lelaki berkenaan dipercayai penjaga premis serta ejen 'To Up Games' di pusat panggilan dan berselindung di sebalik pangsapuri persendirian dengan sewaan RM1,800 sebulan untuk menjalankan aktiviti judi itu.

"Kesemua suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana terbabit dalam kegiatan perjudian," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Dalam perkembangan lain, polis menahan dua lelaki warga asing dan seorang lelaki tempatan berumur lingkungan 25 hingga 40 tahun kerana disyaki terlibat dalam perlombongan bitcoin haram di sebuah premis di sekitar Metro Prima Kepong, di sini, pada Khamis.

"Hasil operasi itu, polis merampas sebanyak 77 mesin bitcoin, peralatan komputer, telefon bimbit pelbagai jenama, modem komputer dan beberapa rangkai kunci premis.

"Kesemua suspek direman selama empat hari hingga Isnin depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 37 (1) Akta Bekalan Elektrik 1990/379 Kanun Keseksaan kerana mencuri arus elektrik bagi tujuan melombong bitcoin," katanya.

-- BERNAMA