MELAKA : Tiga lelaki termasuk seorang nelayan didenda RM7,300 di Mahkamah Majistret di sini, pada Isnin, kerana menjalankan pertaruhan bola sepak Piala Dunia 2022.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman memutuskan denda itu selepas Richard Danker, 54; Linus Hilary Pinto, 60; dan Lim Soon Boon, 34, mengaku bersalah sebaik pertuduhan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Pertaruhan 1953 dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan pertuduhan, Richard yang bekerja sebagai nelayan dan Linus seorang penganggur didapati bersalah membuat pertaruhan bola sepak Piala Dunia FIFA Qatar 2022 secara dalam talian dengan menggunakan telefon bimbit bernilai RM150,250.

Kesalahan itu dilakukan di Medan Portugis, Kampung Portugis pada jam 4 dan 4.10 pagi, 14 Disember tahun lalu.

Seorang lagi tertuduh, Soon Boon yang bekerja di restoran mengaku bersalah melakukan kesalahan sama berjumlah RM75,000 di tepi Jalan Daranjo, Kampung Portugis, di sini, pada jam 6.40 petang, 10 Disember tahun lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fikri Hakim Zamri bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal atas kesalahan dilakukan mereka.

Kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu denda ringan dikenakan terhadap mereka.

Mahkamah kemudian menetapkan Richard didenda RM2,500 selain Linus dan Soon Boon masing-masing RM2,400 atau sebulan penjara jika gagal bayar.- Sinar Harian