JUMLAH mangsa banjir di empat buah negeri meningkat kepada 393 orang daripada 125 buah keluarga setakat awal pagi Rabu.

Menurut Infobanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak lapan buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Perak, Selangor, Kedah dan Kelantan.

Di Perak, seramai 148 mangsa daripada 50 buah keluarga ditempatkan di dua buah PPS yang dibuka.

PPS tersebut adalah Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan, Langkap dan Dewan Serbaguna Kampung Chikus yang kedua-duanya berada di Hilir Perak.

Sementara itu, Selangor merekodkan seramai 133 mangsa daripada 46 buah keluarga ditempatkan di dua buah PPS.

Antara PPS dibuka adalah Dewan MPAJ Lembah Permai, Ampang dan Sekolah Kebangsaan Sungai Serai yang kedua-duanya terletak di Hulu Langat.

Seterusnya, Kedah membuka tiga buah PPS untuk menempatkan 92 mangsa daripada 25 keluarga yang terjejas akibat banjir.

Dua daerah yang terjejas banjir di negeri Darul Aman itu adalah Kubang Pasu dan Kota Setar.

Di Kelantan pula, seramai 17 mangsa daripada tiga keluarga ditempatkan di sebuah PPS yang dibuka di daerah Pasir Mas.