ALOR SETAR: Jumlah mangsa banjir di Kedah menurun kepada 287 orang daripada 79 keluarga setakat pukul 8 pagi ini berbanding 290 orang daripada 80 keluarga, malam tadi.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusof berkata kesemua mereka masih ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Pendang dan Kubang Pasu setakat pagi ini.

"Di daerah Pendang, terdapat seramai 147 mangsa daripada 36 keluarga masih ditempatkan di Dewan Rakan Sukan, Tanah Merah, manakala di Dewan Cenderawasih pula terdapat seramai 55 mangsa daripada 19 keluarga," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Muaz berkata PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tradisi Lembah Keriang di daerah Kubang Pasu pula terdapat seramai 85 mangsa daripada 24 keluarga sehingga pagi ini.

Beliau berkata sebuah lagi PPS di daerah Kubang Pasu iaitu SK Malau masih diaktifkan meskipun semua mangsa telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing kerana sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan banjir selepas ini.

-- BERNAMA