ALOR SETAR: Hujan di bahagian hulu ditambah dengan fenomena air laut pasang menjadi penyumbang kepada peningkatan jumlah mangsa banjir di Kedah.

Sehingga jam 10 malam tadi bilangan mangsa terus meningkat kepada 933 mangsa dari 263 keluarga.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff, berkata daerah Kota Setar mencatatkan pertambahan bilangan mangsa iaitu seramai 575 orang dari 170 keluarga.

“PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Langgar masih kekal seramai 80 mangsa dari 23 keluarga, PPS SK Suka Menanti seramai 67 mangsa dari 25 keluarga manakala PPS SK Darul Hikmah seramai 118 mangsa dari 32 keluarga.

"Empat lagi PPS di Kota Setar iaitu di PPS SK Haji Wahab menempatkan 35 mangsa dari sembilan keluarga, PPS SK Convent seramai 85 mangsa dari 21 keluarga, SK Titi Gajah seramai 73 mangsa dari 25 keluarga dan PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent pula menempatkan seramai 117 mangsa dari 35 keluarga," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Manakala, mangsa banjir di Pendang masih kekal iaitu seramai 281 mangsa dari 73 keluarga yang ditempatkan di PPS Dewan Rakan Sukan Tanah Merah dan PPS Dewan Cenderawasih seramai 75 mangsa dari 23 keluarga.

Mohd Muaz berkata, jumlah mangsa banjir di PPS di daerah Pokok Sena pula hanya tinggal 22 mangsa dari enam keluarga yang ditempatkan di SK Tualang.

Sementara itu, bilangan mangsa banjir di daerah Kubang Pasu berkurangan daripada 80 orang kepada 55 orang yang ditempatkan di dua PPS iaitu PPS Dewan Kampung Tradisi Lembah Keriang dan PPS SK Malau.

Jumlah mangsa dijangka meningkat berikutan air pasang besar yang berlaku bermula hari ini sehingga 7 November.