KUALA TERENGGANU: Jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat dengan 599 mangsa dipindahkan berbanding 312 pada Sabtu.

Daerah Kemaman menjadi lokasi terbaharu dilanda banjir selepas Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Setiu.

Setakat jam 8 pagi Ahad, sebanyak 154 keluarga membabitkan empat daerah itu kini ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS).

Menerusi laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, sebanyak tiga PPS telah diaktifkan di daerah Kemaman bagi menempatkan 284 mangsa membabitkan 68 keluarga.

Sejumlah 51 keluarga membabitkan 235 mangsa dipindahkan ke Dewan Abd Rahman Limbong, 21 lagi mangsa ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru Kerteh, manakala 28 mangsa daripada sembilan keluarga dipindahkan ke SK Kemasik.

Di Kuala Nerus, seramai 209 mangsa daripada 52 keluarga masih ditempatkan di PPS SK Tok Jembal dan SK Bukit Nanas.

Sementara itu, di Kuala Terengganu, dua PPS iaitu SK Atas Tol dan SK Chendering masih dibuka bagi menempatkan 20 keluarga membabitkan 60 mangsa.

Di Setiu pula, seramai 46 mangsa terjejas dan kesemua mereka ditempatkan di PPS SK Kampung Seri Kasar, Balai Raya Kampung Bukit Nenas, dan Surau Mak Bakas.