KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di empat negeri iaitu Selangor, Johor, Kelantan dan Melaka menurun setakat 9.30 malam berbanding petang tadi.

Di SELANGOR, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 129 orang malam ini berbanding 187 orang petang tadi, menurut laman web InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Sebanyak tiga PPS masih beroperasi iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Jeram di Kuala Selangor serta Dewan Sri Nakhoda dan Dewan Simpang 5 di Sabak Bernam.

Di JOHOR, tiga daerah masih terjejas banjir kilat iaitu Tangkak, Kluang dan Segamat dengan bilangan mangsa menurun sedikit kepada 327 orang setakat 8 malam berbanding 330 orang, petang tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dalam kenyataan memaklumkan kesemua mangsa yang terdiri daripada 82 keluarga ditempatkan di lima PPS.

"Seramai 39 orang ditempatkan di Balai Raya Kampung Batu Badak dan 14 orang berada di Dewan Komuniti Tasek, Segamat manakala 32 orang di Dewan Utama Kampung Ithnin Maarof di Kluang.

"Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang 5 Darat dan Sekolah Agama Simpang 5 Darat di Tangkak menempatkan mangsa paling ramai, masing-masing 134 dan 108 orang. Kesemua mangsa belum dibenarkan pulang berikutan banjir termenung," menurut kenyataan itu.

JPBD memaklumkan, kira-kira 20 kediaman yang terletak berhampiran sungai di Kampung Laut, Skudai, Johor Bahru dinaiki air setinggi 1.5 meter ketika pemantauan dilakukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), pada 6.40 petang tadi.

"Bagaimanapun, tiada PPS dibuka dan keadaan adalah terkawal serta tiada kemalangan jiwa dilaporkan," menurut kenyataan itu.

Cuaca dilaporkan hujan di Muar, Segamat dan Kluang manakala Johor Bahru mengalami ribut petir.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir terus merekodkan penurunan kepada 1,677 orang daripada 557 keluarga setakat 8 malam berbanding 1,925 daripada 647 keluarga, petang tadi.

Berdasarkan portal Info Bencana JKM kesemua mangsa banjir ditempatkan di tujuh PPS di Rantau Panjang, Pasir Mas iaitu SK Tok Deh, SK Kubang Kual, PPS Putat Tujoh, SK Sri Kiambang, Masjid Mukim Padang Licin, SK Gual Periok dan SK Gual Tinggi.

Di MELAKA, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir di Alor Gajah menurun kepada 37 orang daripada 12 keluarga setakat 8 malam berbanding 48 orang daripada 13 keluarga, 4 petang tadi.

"Kesemua mereka yang merupakan penduduk Kampung Bukit Tambun, Kampung Bukit Balai, Kampung Pulau, Kampung Belimbing, Pengkalan dan Kampung Panchor ditempatkan di PPS Dewan Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Durian Tunggal," menurut kenyataan itu.

DI SARAWAK, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak memaklumkan 19 orang daripada tujuh keluarga dari Rh Lawai Kampung Selindung, Limbang ditempatkan di PPS Dewan Masyarakat Medamit, yang dibuka pada 5 petang tadi.

Di PERAK, mangsa banjir di negeri itu meningkat kepada 466 orang daripada 140 keluarga setakat 8 malam berbanding 436 orang daripada 127 keluarga petang tadi.

Kesemua mereka berlindung di enam PPS termasuk satu PPS baharu dibuka hari ini di Kampung Padang Serai Dalam di daerah Larut Matang dan Selama.

Daerah Manjung terus merekodkan peningkatan mangsa banjir khususnya di PPS Surau Sekolah Agama Rakyat Imam Syafie, Batu Hampar di Beruas dengan 143 orang daripada 46 keluarga diikuti PPS Dewan SMK Layang-Layang Kiri di daerah Perak Tengah iaitu daripada 94 orang kepada 118 mangsa.

-- BERNAMA