KUALA LUMPUR: Sektor kesihatan di negara ini terutamanya yang membabitkan program pencegahan COVID-19 dan masalah kesihatan mental perlu dipertingkatkan keupayaannya dengan kadar segera.

Menurut Pakar Ekonomi, Polisi dan Pengurusan Kesihatan Prof. Datuk Syed Mohamed Aljunid Syed Junid, jumlah masalah pesakit mental yang dihadapi di peringkat global ketika ini menunjukan peningkatan yang begitu ketara dan membimbangkan.

“Jika dilihat jumlah pesakit mental di peringkat dunia sebelum pandemik COVID-19 iaitu yang sedia ada ialah 14 peratus. Tidak sampai 35 peratus daripada jumlah tersebut yang telah mencapai tahap rawatan bagi menanganinya.

“Jumlah itu tentunya sekali meningkat selepas COVID-19 dengan masalah-masalah yang dihadapi seperti jangkitan, kematian, masalah kewangan, kehilangan kerja dan sebagainya. Malah ada negara yang dijangka mempunyai kadar pesakit mental sehingga 54 peratus daripada keseluruhan penduduknya," jelasnya kepada Astro AWANI pada Ahad.

Bagaimanapun katanya, dengan pengalaman yang luas dimiliki oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ketika ini, persediaan secukupnya mampu diperkemas bagi menghadapi masalah tersebut.

Bagi mencapai tujuan itu, beberapa penambahbaikan perlu dilakukan segera terutamanya meningkatkan peruntukan dan keupayaan sedia ada.

“Peruntukan yang biasanya diberikan (untuk menangani) masalah mental sebelum ini adalah amat kecil. KKM perlu memikirkan bagaimana mereka yang berdepan masalah ini mampu mendapat akses yang baik untuk rawatan.

“Kaedah terbaik adalah dengan memperkasa sistem di peringkat klinik-klinik kesihatan dengan menyediakan rawatan kesihatan mental. Ini bukan kecil tetapi ia akan berlanjutan untuk satu tempoh yang panjang kerana pandemik yang sedang melanda," tambahnya.

Dalam masa yang sama katanya, pemerkasaan program-program yang membabitkan kaedah atau langkah pencegahan jangkitan COVID-19 sedia ada juga perlu sentiasa diperkemas termasuk dalam pemberian vaksin.

Ini memandangkan keperluan semasa termasuk kemungkinan keperluan suntikan vaksin berkala bagi memastikan ketahanan diri sentiasa berada pada tahap tinggi untuk menghalang jangkitan.