PUTRAJAYA: "Kami dah fail di mahkamah dan saya akan jumpa beliau (Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man) di mahkamah."

Demikian jawapan ringkas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli ketika ditanya berhubung tuntutan saman difailkan bekas Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man terhadapnya.

Berdasarkan jawapan ringkas itu, ia sekali gus mengesahkan Rafizi tidak akan memohon maaf berhubung kenyataannya sebelum ini berhubung status projek tebatan banjir Sungai Langat 2 bernilai RM2 bilion yang didakwa dalam proses mendapat kelulusan.

Pada 18 November lepas, Astro AWANI melaporkan Tuan Ibrahim telah memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan terhadap Rafizi.

Menerusi satu kenyataan sehari sebelumnya, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, writ itu difailkan pada petang Khamis melalui peguamnya, Tetuan Yusfarizal Aziz & Zaid.

Menurutnya, notis tuntutan telah dihantar kepada Ahli Parlimen Pandan itu pada 10 November lalu, susulan kenyataannya yang didakwa tidak bertanggungjawab dan memfitnah beliau.

Rafizi dalam satu sidang media menuntut penjelasan daripada Timbalan Presiden Pas itu berhubung status projek tebatan banjir Sungai Langat 2 berkenaan.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim dalam kenyataan balas memaklumkan, tiada kelulusan boleh diberikan terhadap mana-mana peruntukan kewangan dalam tempoh kerajaan sementara.