Jurujual wanita rugi RM45,979 ditipu sindiket pelaburan wang asing

Bernama
Ogos 25, 2021 21:00 MYT
Seorang jurujual wanita mendakwa kerugian RM45,979 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket pelaburan tukaran wang asing. - Gambar hiasan
KEPALA BATAS: Seorang jurujual wanita mendakwa kerugian RM45,979 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket pelaburan tukaran wang asing yang menjanjikan pulangan lumayan dalam kejadian di sini baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata wanita berusia 28 tahun itu telah berkenalan dengan seorang lelaki di laman sosial Facebook, Julai lepas, sebelum bertukar nombor telefon dan berhubung menerusi aplikasi WhatsApp.
"Wanita berkenaan yang percaya kepada lelaki tersebut kemudiannya ditawarkan menyertai pelaburan Forex yang akan didagangkan sendiri oleh suspek melalui aplikasi Cainvest dan dijanjikan keuntungan tinggi.
"Mangsa telah bersetuju dengan tawaran tersebut dan kemudiannya membuat sembilan transaksi pindahan wang berjumlah RM45,979 ke dalam lima akaun bank yang diberikan lelaki itu," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau mangsa hanya menyedari ditipu dan bertindak membuat laporan polis selepas suspek gagal dihubungi selain mendapati aplikasi Cainvest yang digunakan untuk melihat aktiviti dagangan tukaran wang asing juga telah dinyahaktif.
Noorzainy berkata siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu.
-- BERNAMA
#jurujual wanita #kerugian #sindiket pelaburan #tukaran wang asing #Polis Daerah Seberang Perai Utara