IPOH: Seorang juruteknik mekanikal maut akibat cedera parah selepas tersepit pada mesin conveyor (tali sawat) di sebuah kilang simen di Gopeng, dekat sini pada Khamis.

Mangsa yang dikenali sebagai Muhammad Hilmi Badrul Hisham, 20, disahkan meninggal dunia di Hospital Kampar oleh doktor perubatan pada pagi Khamis.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak, Supian Alias berkata, siasatan awal mendapati mangsa diarahkan untuk bersiap sedia di kawasan tali sawat sebelum memulakan kerja penyelenggaraan.

Ujarnya lagi, mangsa telah ditemui dalam keadaan tersepit pada bahagian 'tail drum conveyor' oleh rakan sekerjanya.

"Satu kemalangan dilaporkan berlaku pada jam 9.55 pagi di sebuah kilang simen di Gopeng hari ini.

"Mangsa yang tersepit dikeluarkan oleh pekerja dan dihantar ke Hospital Kampar menggunakan ambulans syarikat.

"Bagaimanapun mangsa disahkan telah meninggal dunia di hospital oleh doktor perubatan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Justeru katanya, JKKP Perak telah mengarahkan sepasukan pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan ke atas insiden tersebut.

Ujar Supian, JKKP Perak telah menyita dan mengeluarkan larangan kacau ganggu terhadap jalur sistem conveyor tersebut sehingga siasatan lanjut dan tindakan penambahbaikan diambil oleh majikan.

"JKKP akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

"Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja. Majikan bertanggungjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya di tempat kerja, membuat analisis risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja," katanya.

Beliau berkata kejadian seumpama ini boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).