IPOH: Seorang juruterbang yang menerbangkan helikopter untuk mengambil pesanan nasi ganja di Padang Ipoh Julai tahun lalu, didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh, pada Isnin atas tuduhan tidak mematuhi pelan penerbangan.

Tertuduh, Datuk Mohamed Raffe K Chekku, 53, yang juga pengarah sebuah syarikat, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Jesseca Daimis.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa tidak mematuhi pelan penerbangan yang dikemukakan apabila telah membuat pendaratan sebuah pesawat jenis Bell 505, nombor pendaftaran 9M-RCI di lokasi selain dari Aerodrome yang dinyatakan di dalam pelan penerbangan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan Padang Ipoh, Jalan Tun Sambanthan, kira-kira jam 9.50 hingga 10 pagi, 23 Julai tahun lalu.

Dia didakwa di bawah Peraturan 77(2) Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 206 (3)(a) peraturan yang sama.

Peraturan tersebut memperuntukkan, bagi seorang individu, hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Jun sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jean Sharmila Jesudason manakala tertuduh diwakili Peguam Datuk Dr Banjit Singh Sidhu.

Pada 23 Julai lalu, media melaporkan sebuah helikopter mendarat di Padang Ipoh untuk mengambil pesanan 36 bungkus nasi kandar popular di bandar raya Ipoh yang lebih dikenali sebagai 'nasi ganja'.

Kejadian tersebut menjadi isu apabila pelbagai pihak, termasuk Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) tertanya-tanya apa yang berlaku terhadap kes berkenaan.

Bagaimanapun, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid menjelaskan bahawa kes tersebut tidak pernah ditutup.