KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) akan menyegerakan inisiatif untuk menjalin kerjasama dengan negara-negara ASEAN bagi memperluaskan pasaran industri telekomunikasi dan industri kreatif termasuk perfileman, kata Menterinya Tan Sri Annuar Musa.

Katanya untuk permulaan, memorandum persefahaman (MoU) berkaitan usaha itu akan diwujudkan.

"Saya ada sebut dalam mesyuarat pasca-Kabinet (Rabu) supaya inisiatif ini mesti segera dimulakan oleh kementerian dengan mewujudkan MoU dengan semua negara ASEAN, tetapi boleh didahulukan dengan negara-negara yang bersempadan.

"Saya nak tengok ada satu MoU yang jelas meneroka kerjasama dan jangan tunggu orang datang melamar kita, kita kena berani keluar jangan duduk dalam kepompong. Kita ada banyak perkara yang boleh bekerjasama dengan negara-negara lain dalam telekomunikasi dan industri kreatif termasuk perfileman," katanya.

Annuar berkata demikian selepas menyaksikan tayangan khas filem Mat Kilau - Kebangkitan Pahlawan di Golden Screen Cinema (GSC), di sebuah pusat beli belah di sini malam tadi.