Kabinet 2013 masih terlalu besar - Wan Saiful

Haider Yutim
Mei 15, 2013 23:18 MYT
Ketua Eksekutif Institut Bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan berkata barisan kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak petang semalam masih terlalu besar.
Menurutnya, keadaan itu mungkin akan menjadi faktor yang menghalang keberkesanan pentadbiran.
Beliau telah mengambil contoh bidang vokasional dan kemahiran di mana sebelum ini terdapat empat kementerian yang terlibat dalam hal tersebut.
Katanya dengan wujudnya kementerian yang pelbagai, masalah ‘overlap’ atau pertindihan tidak dapat diselesaikan.
"Kenapa ada empat, kenapa tidak boleh ada satu sahaja? Ia disatukan dan kita selaraskan betul-betul urusan yang sedimikian,” kata Wan Saiful dalam sesi temubual Agenda Awani pada Rabu yang bertajuk ‘Kabinet transformasi dan seimbang’.
Jelas beliau, tujuan kementerian digabungkan adalah untuk memastikan pertindihan yang berlaku dapat dikurangkan.
Beliau juga memuji senarai cabinet bagi portfolio Kementerian Pelajaran dan Pendidikan Tinggi dengan menyifatkannya satu gabungan yang baik kerana ia membolehkan mereka membincangkan isu-isu yang sensitif di peringkat pendidikan.
Namun, kata beliau lagi dengan adanya penggabungan dua kementerian iaitu Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pendidikan kepada satu kementerian, ia bakal menjadikan cabaran sedia ada lebih besar terutama dengan kemasukan university dan kolej di bawah satu kementerian.
“Tetapi yang pastinya sekarang ini kita boleh tengok keseluruhan perjalanan daripada (peringkat) pra-sekolah sehinggalah ke university disediakan oleh satu kementerian, dan saya rasa ini satu perkembangan yang baik.
“Cuma pengurusan peralihan ini adalah satu perkara yang amat penting… sekiranya tidak diselaraskan dengan baik saya rasa mungkin lebih banyak masalah akan timbul,” kata Wan Saiful.
Bagaimanapun katanya, jika ia diselaraskan dengan baik serta pertalian antara satu tahap ke satu tahap dalam system pendidikan boleh disusun dengan baik, ia bakal menyumbang suatu yang positif kepada system pendidikan negara.
Sementara itu, Wan Saiful mengakui bahawa kabinet bayangan oleh pihak pembangkang harus diwujudkan.
Namun, beliau berpendapat bahawa kabinet bayangan bukan lah tanggungjawab Pakatan Rakyat, sebaliknya ia menjadi tanggungjawab kerajaan untuk member peruntukan agar ia dapat diwujudkan.
Perdana Menteri, pada Rabu telah mengumumkan kabinet yang baru di pejabatnya di Putrajaya yang menyaksikan barisan yang lebih kecil berbanding penggal lepas.
Barisan kabinet baru itu juga menampilkan pasukan yang mampu menjana idea-idea baru untuk meneruskan agenda transformasi nasional yang dicetuskan Najib.
Menurut Perdana Menteri, barisan kabinet yang baru dilantik itu merupakan kabinet yang berimbang, campuran antara muka lama dan muka baru.
Katanya, antara ciri-ciri anggota yang dilantik juga terdiri dari kalangan teknokrat, mampu menyumbang idea-idea yang kreatif dan bernas.
#ideas #kabinet #Najib Razak #PM #Wan Saiful Wan Jan