Kabinet akan memuktamadkan sebarang keputusan jika terdapat sebarang perubahan kepada penamatan kontrak MMC-Gamuda membabitkan pembinaan struktur bawah tanah MRT Line 2 (MRT2) Rapid Transit 2 (MRT2), kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Katanya, memandangkan penamatan kontrak ini merupakan keputusan kabinet, sebarang perubahan perlu melalui mesyuarat jemaah menteri.

Lim ketika bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini, berkata beliau tidak hadir di dalam mesyuarat jemaah menteri yang lepas kerana sedang melakukan lawatan kerja di Bali, Indonesia dan oleh itu, tidak dapat memberi komen mengenai perkara tersebut.

Menurut Lim, pada 7 Okt lepas, kabinet telah memutuskan untuk menamatkan kontrak MMC-Gamuda membabitkan pembinaan bahagian bawah tanah projek MRT2, beliau menambah semua kerja bawah tanah yang belum diselesaikan akan ditender semula melalui satu tender terbuka.

Katanya, projek MRT2 dijangka akan menjimatkan kira-kira RM5.22 bilion atau 23 peratus daripada kos asal bagi bahagian permukaan tanah projek, melalui langkah tender terbuka.

Bagaimanapun, MMC-Gamuda berkata hampir 20,000 pekerja daripada 600 rantaian syarikat-syarikat pembekal tempatan akan kehilangan kerja akibat penamatan kontrak itu.

Lim dalam responsnya menjelaskan, majoriti mereka yang terlibat dengan penamatan kontrak boleh dipanggil semula oleh kontraktor baharu.

-- BERNAMA