PUTRAJAYA: Lapan hari selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya menamatkan persoalan dan teka-teki berhubung barisan Kabinet yang akan bersama-sama dengannya mentadbir negara.

Jawatan Timbalan Perdana Menteri yang menjadi antara tumpuan utama sejak beberapa hari lepas diisi Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Fadillah Yusof.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, turut dilantik sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Sementara itu, pelantikan Fadillah yang turut menjawat jawatan Menteri Perladangan dan Komoditi, menyaksikan Ahli Parlimen Petra Jaya itu mencipta sejarah sebagai pemimpin pertama dari Sarawak yang diberi amanah untuk menggalas jawatan tersebut.

Pelantikan Ahmad Zahid dan Fadillah menamatkan spekulasi berhubung jawatan nombor dua tertinggi itu.


Sebelum ini, banyak khabar angin tersebar sebelum ini, mengaitkan beberapa nama dengan jawatan tertentu namun segalanya hanyalah khabar angin sehinggalah hari ini.

[LAPOR LANGSUNG] Pembentukan Kabinet Kerajaan Perpaduan PM ke-10

DAPATKAN LIPUTAN KERAJAAN PERPADUAN DI LAMAN MIKRO INI


Dalam pada itu, beberapa bekas menteri Pakatan Harapan (PH) kembali menjadi menteri iaitu Mohamad Sabu yang dilantik Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan sementara Anthony Loke Siew Fook kembali dilantik sebagai Menteri Pengangkutan.

Selain itu, turut kembali ke Kabinet ialah Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Menteri Dalam Negeri), Datuk Seri Salahuddin Ayub (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) dan Hannah Yeoh (Menteri Belia dan Sukan).

Sementara itu, beberapa menteri dalam pentadbiran Perikatan Nasional (PN) turut dilantik, antaranya Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Nancy Shukri (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) dan Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (Menteri Kerja Raya).

Dalam pada itu, beberapa muka baharu turut disenarai mengisi jawatan sebagai menteri dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar.

Daripada PH, yang dilantik sebagai anggota Jemaah Menteri ialah Mohd Rafizi Ramli (Menteri Ekonomi), Fadhlina Sidek (Menteri Pendidikan), Dr Zaliha Mustafa (Menteri Kesihatan), Nik Nazmi Nik Ahmad (Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim), Ewon Benedick (Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi) dan Ahmad Fahmi Mohd Fadzil (Menteri Komunikasi Digital).

Sementara, muka-muka baharu dari Barisan Nasional (BN) pula ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (Menteri Pertahanan) dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir (Menteri Luar Negeri).

Kabinet Kerajaan Perpaduan Anwar Ibrahim. - Infografik oleh Muhammad Syazwam