KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan Jemaah Kabinet sudah membuat keputusan bahawa sebarang pengeluaran minuman keras di negara ini tidak boleh menimbulkan “keresahan rakyat” dalam konteks bangsa atau agama.

Menurut Tuan Ibrahim, kerajaan membuat keputusan itu berdasarkan usaha yang dilakukan Pas dalam menyatakan bantahan mereka terhadap penggunaan nama Timah bagi wiski buatan tempatan.

Jelas beliau, Pas mengemukakan bantahan dalam isu penggunaan nama Timah bagi wiski buatan tempatan itu kerana rakyat mengharapkan parti tersebut untuk memperjuangkan isu agama.

"Walapun kita baru duduk dalam kerajaan dengan 18 orang Ahli Parlimen, kalau isu agama orang harap kan kita, termasuklah isu 'Timah', kalau isu emas ok ini isu 'Timah'.

"Dan saya nak khabarkan berita gembira, kita adakan pertemuan, menteri agama kita, menteri KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) termasuk menteri perpaduan, kita nyatakan bantahan.

"Kabinet telah buat keputusan bahawa tidak boleh mana-mana pengeluar yang mengeluarkan apa-apa pengeluaran (jenama) (yang) boleh menimbulkan keresahan rakyat termasuk dalam konteks bangsa ataupun agama.

"Hasil daripada apa yang kita buat, kita bantah... Alhamdulillah. Hari ini kita tengok sebenarnya mereka menggunakan isu ini untuk menyerang Pas, tapi akhirnya dijadikan backfire kepada mereka balik," katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia kali ke-62 di Port Dickson, Negeri Sembilan pada Sabtu.

Pada 19 Oktober lalu, Tuan Ibrahim berkata, jenama dan logo wiski Timah itu memang boleh mengelirukan dan meminta agar ia disemak kembali walaupun ia tidak semestinya merujuk ekpada manusia.

Dalam reaksi segera, syarikat pengeluar arak itu menjelaskan, jenama Timah merujuk kepada bijih timah yang banyak terdapat di negara ini suatu ketika dahulu, manakala imej lelaki pada labelnya pula ialah Kapten Speedy yang dikatakan sebagai individu memperkenalkan budaya minuman berkenaan pada era pentadbiran British.