KUALA LUMPUR: Mesyuarat Kabinet pada Jumaat memutuskan akan memfokuskan kepada siasatan tiga kes berkepentingan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Tiga kes berkenaan ialah kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, semakan semula undang-undang berkenaan kes Pedra Branca/Pulau Batu Puteh dan siasatan mengenai dakwaan terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Menerusi satu kenyataan pada Sabtu, ketiga-tiga jawatankuasa yang dipersetujui oleh Jemaah Menteri ini akan diberi tempoh selama enam bulan bagi memperoleh dapatan dan cadangan yang akan dibentangkan di dalam mesyuarat Kabinet untuk tindakan susulan.

‘’Mesyuarat Jemaah Menteri memutuskan untuk mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya terhadap kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

‘’Penubuhan jawatankuasa khas ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kes kematian Allahyarham Adib, 24, yang juga anggota unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, mendapat keadilan dan sekali gus pelaku kematian Adib dihadapkan ke muka pengadilan,’’ kata kenyataan tersebut.

Tambahnya, jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan turut dianggotai Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

Allahyarham Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis 2018, di Institut Jantung Negara ekoran kecederaan parah dialaminya dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun sama.