SEKINCHAN: Kabinet setakat ini tidak pernah mengadakan sebarang perbincangan mahu pun tawaran terhadap parti PAS untuk menyertai Kerajaan Perpaduan.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming menyifatkan dakwaan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung perkara berkenaan sebagai satu cerita dongeng dan rekaan daripada pemimpin tersebut.

"Saya sahkan satu perkara, Kabinet tidak pernah bincang dan tidak ada seorang pun pemimpin senior yang menawar dan menjemput PAS untuk sertai (Kerajaan Perpaduan).

"Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof pun nafi (dakwaan Abdul Hadi)," katanya yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP pada pemberita selepas lawatan kerjanya di sekitar Pekan Sekinchan, di sini hari ini.

Sementara itu, ketika mengulas dakwaan dan khabar angin berkaitan akan berlaku pertukaran pentadbiran kerajaan negeri Perak Julai depan, Nga yang juga Pengerusi DAP Perak memaklumkan perkara sedemikian tidak akan berlaku.

"Pilihan Raya Negeri (PRN) Perak lima tahun lagi iaitu pada 2027. Namun PRN Selangor, dua bulan lagi. Itu saya tahu dan itu memang sudah sah," katanya.

Sebelum ini Ketua Pembangkang Perak Razman Zakaria yang mendakwa beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan ada datang berjumpanya ketika khabar angin wujud gerakan untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan di negeri itu.

-- BERNAMA