Kad Kesihatan Warga Emas Pahang bakal manfaat 18,000 penerima

Astro Awani
Januari 18, 2022 12:56 MYT
Wan Rosdy (kanan) menyampaikan Kad Kesihatan Warga Emas Pahang kepada seorang penerima pada majlis pelancaran inisiatif itu di Dewan Jubli Sultan Haji Ahmad Shah, Kuala Rompin pada Selasa. - Foto: Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan RM10 juta tahun ini bagi melaksanakan program pemberian Kad Kesihatan Warga Emas Pahang atau Kad Kesihatan Kebanggaan Pahang (Pahang Pride Kasih).
Program yang dilancarkan hari ini buat julung kali itu bakal memberi manfaat kepada 18,000 penerima.
Menurut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, pelaksanaan kad itu yang bernilai RM500 setiap penerima, dibahagikan kepada dua peringkat iaitu fasa pertama membabitkan 9,009 penerima Bantuan Orang Tua Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri yang bermula, hari ini.
“Seramai 9,009 penerima Bantuan Orang Tua (BOT) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang bakal menerima kad itu untuk fasa pertama.
“Senarai 8,991 penerima selebihnya yang memenuhi syarat dan berkelayakan akan dimasukkan dalam senarai fasa kedua yang dijangka akan menerima manfaat itu bermula 1 Mac depan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Jelasnya lagi, pemberian kad kesihatan itu juga sebagai tanda komitmen kerajaan negeri dalam
memenuhi keperluan asas rakyat daripada segenap usia yang menjadi antara asas Belanjawan Pahang 2022.
#Kerajaan negeri Pahang #Kad Kesihatan Warga Emas Pahang #Kad Kesihatan Kebanggaan Pahang #Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail