KUALA LUMPUR: Kadar inflasi negara berpotensi melonjak lebih 10 peratus sekiranya bantuan subsidi tidak diberikan.

Sehubungan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan dijangka membelanjakan RM64 bilion tahun ini demi memastikan rakyat dapat terus menikmati subsidi barangan asas seperti beras, gula, petrol, serta tarif elektrik.

Menurutnya, rakyat terutamanya golongan B40 akan berdepan kesukaran untuk membeli barangan keperluan asas tersebut jika inflasi tidak dibendung.

Beliau memberitahu, kerajaan memahami keresahan rakyat yang terbeban melunaskan ansuran bulanan yang semakin meningkat berikutan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR), baru-baru ini.

"Oleh itu, melalui Belanjawan 2023 yang dibentangkan baru-baru ini, jelas dilihat misi utama Kerajaan Perpaduan ialah usaha membantu menangani beban kos sara hidup yang semakin menghimpit," katanya dalam jawapan lisan yang disiarkan melalui laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) yang meminta kerajaan menyatakan apa tindakan segera bagi membantu mengurangkan beban rakyat terkesan dengan kenaikan mendadak OPR.

Selain subsidi, Anwar memberitahu, kerajaan turut menyediakan pelbagai bantuan sosial, termasuk bantuan tunai kepada kumpulan sasar bagi mengurangkan kos sara hidup tinggi.

Beliau berkata, kerajaan sudah menyalurkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 secara berperingkat kepada 8.7 juta golongan B40 bernilai RM1.67 bilion mulai 17 Januari lalu.

Malah, katanya lagi, STR akan diteruskan dengan beberapa pembaharuan diambil kira supaya isi rumah yang benar-benar terkesan mendapat manfaat.

"Ia dijangka dapat membantu meringankan beban sara hidup hampir sembilan juta penerima, dengan peruntukan disediakan hampir RM8 bilion. 

"Walaupun STR dikaitkan sebagai bantuan kepada B40, tetapi mengambil kira bilangan penerima, sebenarnya STR memanfaatkan lebih 60 peratus daripada rakyat dewasa negara ini.

"Kekal dengan hasrat membantu meringankan beban rakyat, kerajaan juga memperuntukkan RM100 juta bagi pelaksanaan program Jualan Rahmah yang menawarkan barangan asas dengan harga hingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran, membabitkan 222 kawasan Parlimen," katanya.

Selain itu, pelbagai kemudahan pinjaman serta jaminan pembiayaan dengan peruntukan hampir RM40 bilion bagi manfaat perusahaan mikro, kecil dan sederhana, disediakan dalam usaha membantu kumpulan berkenaan untuk kembali bangkit serta berdaya saing selepas terkesan dengan pandemik COVID-19 dan cabaran ekonomi semasa.

Mengulas mengenai kenaikan OPR pula, Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak menafikan peningkatan secara kumulatif sebanyak 100 mata asas daripada 1.75 peratus kepada 2.75 peratus pada tahun lalu, memberi kesan terhadap peminjam dan peniaga yang mempunyai pinjaman berkadar terapung, berikutan peningkatan ansuran bulanan yang dihadapi mereka.

"Namun, tidak semua peminjam terjejas akibat kenaikan OPR, kerana hanya peminjam yang mempunyai pinjaman jenis berkadar terapung yang terkesan dengan kenaikan OPR terbabit.

"Setakat Disember 2022, separuh daripada jumlah akaun pinjaman dalam sektor isi rumah, iaitu 50.3 peratus adalah pinjaman jenis berkadar tetap.

"Bagi peminjam berpendapatan rendah kurang RM5,000 sebulan, termasuk golongan B40, dianggarkan sebanyak 54.8 peratus daripada jumlah akaun pinjaman adalah berasaskan kadar tetap," katanya.

Beliau berkata, kerajaan menerusi Bank Negara Malaysia (BNM) memahami keresahan rakyat yang terbeban untuk melunaskan ansuran bulanan yang semakin meningkat.

Justeru, katanya, BNM bersedia meringankan beban peminjam yang terkesan dan menghadapi kesulitan untuk membuat bayaran balik pinjaman akibat kenaikan OPR, dengan menggalakkan mereka menghubungi institusi kewangan masing-masing bagi mendapatkan sokongan diperlukan.