KUALA LUMPUR: Malaysia perlu membuat pelaburan besar terutamanya dalam pengangkutan berkonsepkan rel sebagai antara usaha mengurangkan kadar kemalangan dalam negara.

Pengerusi Lembaga Pengarah Global Alliance of Road Safety, Prof Dr Kulanthayan KC Mani berkata, itu yang dilakukan banyak negara maju dan terbukti kadar kemalangan jalan raya di negara tersebut rendah.

“Saya bagi satu gambaran yang agak mudah, apabila sistem pengangkutan rel, bermaksud ia tak kongsi laluan tersebut dengan mana-mana kenderaan lain.

BACA: Lokasi nahas rentung catat 17 kes kemalangan

BACA: Malaysia kekal dalam senarai 10 negara paling bahaya memandu di dunia

“Apabila kita tidak berkongsi, risiko kita kurang dan kemalangan jarang berlaku. Kaedah paling baik adalah memindahkan sebilangan trafik kepada pengangkutan awam.

“Seperti saya syorkan, pengangkutan awam rel cukup selamat, kemudian perlu dibantu dengan pengangkutan awam darat,” katanya ketika bersiaran secara langsung dalam Buletin AWANI pada Ahad.

Tambah beliau, cadangan itu bukanlah bermaksud memindahkan semua pengguna jalan raya kepada pengangkutan awam.

Begitupun, katanya, sekiranya pengguna mempunyai jaringan pengangkutan awam yang baik di lokasi mereka, tidak salah sekiranya mereka bertukar kepada pengangkutan awam.

Op Selamat 18 | Jumlah kemalangan maut meningkat 7 peratus

“Apa yang pasti, statistik kemalangan dalam negara kita, pengangkutan awam menyumbang paling kurang dalam kemalangan,”ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan Malaysia antara 10 negara di dunia yang paling berbahaya untuk memandu.

Berdasarkan data dikeluarkan firma pendidikan pemanduan antarabangsa, Zutobi, Malaysia berada di kedudukan kelapan dengan skor keselamatan direkodkan hanya 5.63 daripada 10.

Pemandu atau jalan raya yang bahaya?