KUALA TERENGGANU: Sebanyak 72 ekor penyu ditemukan mati di Terengganu sepanjang Januari hingga Disember tahun lepas.

Exco Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, jumlah itu meningkat berbanding 51 kematian pada tahun 2021.

Menurutnya, peningkatan sebanyak 21 kes yang direkodkan agak membimbangkan dan kerajaan negeri melaksanakan pelbagai usaha bagi memastikan kadar kematian haiwan tersebut dapat dikurangkan termasuk meningkatkan penguatkuasaan.

“Antara ancaman utama penyu ialah pukat tunda, pukat pari dan plastik yang dibuang ke laut.

“Ubur-ubur antara makanan penyu, jadi plastik yang terapung di lautan boleh mengelirukan haiwan ini kerana ia kelihatan seperti ubur-ubur menyebabkan banyak penyu mati kerana termakan plastik yang disangka ubur-ubur,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Dr Azman, penyu kekal sebagai ikon Terengganu dan program penjagaan serta pemuliharaan penyu telah dilaksanakan sejak tahun 50-an dengan kewujudan Enakmen Pemuliharaan Penyu Terengganu 1951.

Bagaimanapun katanya, enakmen ini dipinda pada tahun 2021 dan dikuatkuasakan pada Jun tahun lepas bagi membolehkan hukuman lebih berat dikenakan bagi kesalahan berkaitan spesies hidupan marin itu.

Jelas beliau, ia bertujuan melindungi dan mengelakkan kepupusan semua spesies penyu termasuk tuntung laut.

“Selain memperketat penguatkuasaan, kerajaan melalui Jabatan Perikanan negeri juga aktif memulihara penyu supaya populasinya tidak berkurangan.

“Pada tahun 2021 sebanyak 7,164 sarang penyu direkodkan di pantai Terengganu yang menghasilkan 603,827 biji telur. Daripada jumlah itu, sebanyak 432,321 biji telur menetas menghasilkan anak penyu yang telah dilepaskan kembali ke laut.

“Pada tahun lepas, sebanyak 10,019 sarang penyu direkodkan di pantai negeri ini yang menghasilkan 810,962 biji telur.

“Ia merekodkan peningkatan 590,249 biji telur telah berjaya menetas dan menghasilkan anak penyu yang telah dilepaskan kembali ke laut,” katanya.

Menurut Dr Azman, daripada tujuh spesies penyu yang terdapat di dunia, empat spesis mendarat di Terengganu iaitu penyu belimbing, lipas, agar dan karah.

“Namun spesies yang paling banyak mendarat buat masa kini ialah agar dan karah.

"Penyu belimbing kali terakhir dikesan mendarat pada 2017 sementara penyu lipas pula kali terakhir dilihat pada tahun 2003,” katanya. - Sinar Harian