KUALA LUMPUR: Kadar pengangguran di negara ini terus mencatatkan penurunan 4.5 peratus membabitkan 729,600 orang pada September lepas berbanding bulan sebelumnya, menurut Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata kedudukan tenaga buruh bertambah baik apabila bilangan tenaga kerja buruh terus meningkat manakala pengangguran menunjukkan trend menurun.

"Peralihan lebih banyak negeri ke fasa berikutnya dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) membolehkan lebih banyak aktiviti perniagaan beroperasi semula dengan waktu operasi perniagaan dilanjutkan.

"Selain itu, kebenaran perjalanan rentas negeri di kawasan Lembah Klang ditambah dengan pembukaan semula industri pelancongan domestik di Terengganu dan Pulau Langkawi, Kedah juga menggalakkan lebih banyak aktiviti ekonomi pada bulan dikaji," katanya dalam laporan Statistik Tenaga Buruh Malaysia di sini hari ini.

Menurut beliau kesemua situasi positif itu telah mendorong pasaran buruh untuk kembali kukuh dan mendapatkan semula momentumnya.

Mohd Uzir berkata mengikut sektor ekonomi, pekerja dalam sektor perkhidmatan terus mencatatkan peningkatan terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit, perkhidmatan makanan dan minuman serta maklumat dan komunikasi.

Tenaga kerja dalam sektor pembuatan dan pembinaan juga mencatatkan perubahan positif manakala sektor pertanian, perlombongan dan kuari kekal menurun.

Mengulas lanjut mengenai situasi pengangguran pada September, Mohd Uzir berkata penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan merangkumi 83.7 peratus daripada jumlah penganggur dan kumpulan ini menurun sebanyak 2.6 peratus kepada 611,000 orang berbanding 627,500 orang pada Ogos.

"Aktiviti ekonomi dinamik yang berterusan akan mempercepatkan proses pemulihan perniagaan dan seterusnya dikaitkan dengan peningkatan dalam permintaan buruh yang akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan. Ekonomi negara dijangka akan meningkat pada bulan-bulan akan datang yang digambarkan oleh Prestasi Indeks Pelopor yang lebih baik," katanya.

Menurut Mohd Uzir antara negeri yang mencatatkan penurunan kadar pengangguran ialah Putrajaya dengan 1.0 peratus, diikuti Melaka (3.0 peratus), Selangor (3.6 peratus), Negeri Sembilan (3.7 peratus) dan Pulau Pinang (3.7 peratus).

Dalam pada itu, beliau berkata terdapat sembilan negeri yang mencatatkan peningkatan dalam Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB), yang menunjukkan lebih banyak penyertaan buruh dalam ekonomi.

KPTB tertinggi dicatatkan oleh Selangor (74.7%), Kuala Lumpur (73.6%), Pulau Pinang (70.7%), Putrajaya (70.2%) dan Sarawak (69.7%).

-- BERNAMA