PUTRAJAYA: Selangor terus mencatat negeri tertinggi dengan kadar perceraian bagi orang Islam, iaitu sebanyak 7,402 kes bagi tahun 2021, diikuti Johor (4,433), Kelantan (3,068), Kedah, (2,776), Pahang (2,646), Sarawak (2,449), dan Terengganu (2,388).

Menurut statistik Perkahwinan Dan Perceraian Orang Islam Tertinggi 2021 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, kes mengikut negeri seterusnya diikuti Sabah (1,911), Kuala Lumpur (1,979), Negeri Sembilan (1,689), Pulau Pinang (1,596), Melaka (1,390).

Negeri dan wilayah yang mencatatkan kadar perceraian di bawah 1,000 ialah – Perlis (550), Putrajaya (180), dan Labuan (125).

Menurut statistik itu lagi, daerah Petaling di Selangor mencatat kadar perceraian tertinggi iaitu sebanyak, 2,093 kes, Ulu Langat (1,447), dan Gombak (1,127).

Untuk kategori keseluruhan, Selangor turut mencatatkan kadar perceraian tertinggi, iaitu sebanyak 8,939 kes, diikuti Johor (5,756), Perak (4,029), Sarawak (3,529), Kelantan (3,134), Kedah (3,075), Pahang (2,938), Kuala Lumpur (2,649), Terengganu (2,514), Sabah (2,313), dan Negeri Sembilan (2,077).

Ia diikuti Melaka (1,618), Perlis (583), Putrajaya (180), dan Labuan (131).

Menurut satu lagi lampiran oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar perkahwinan keseluruhan bagi negara telah mencatatkan penurunan sebanyak 9.4 peratus, iaitu daripada 203,661 perkahwinan pada tahun 2019, kepada 184,589 perkahwinan untuk tahun 2020.

Bagi kadar perceraian seluruh negara pula, sebanyak 19.2 peratus penurunan dicatatkan, iaitu daripada 56,624 kes pada 2019, kepada 45,754 kes pada tahun 2020.

Kadar perkahwinan kasar pula ialah 5.7 kepada setiap 1,000 penduduk, manakala kadar perceraian ialah 1.4 kepada setiap 1,000 penduduk.

Perkahwinan tertinggi dicatatkan pada kumpulan umur 25 hingga 29 tahun bagi kedua-dua jantina, manakala kadar perceraian tertinggi jatuh pada kumpulan umur 30 hingga 34 tahun untuk kedua-dua jantina.

Selain itu, umur pengantin lelaki yang paling tua direkodkan untuk Statistik Perkahwinan dan Perceraian, Malaysia, 2021 ialah 92 tahun, manakala bagi pengantin perempuan ialah 84 tahun.

Bagaimanapun Jabatan Perangkaan Malaysia menyebut – statistik perkahwinan tidak boleh dibuat perbandingan dengan statistik perkahwinan semasa, dan statistik penceraian adalah merujuk kepada tarikh kes selesai dengan sabitan oleh Mahkamah Syariah atau Sivil.