KUALA LUMPUR : Kementerian Pendidikan (KPM) komited dalam usahanya untuk memastikan semua murid mengikuti sistem persekolahan sehingga ke peringkat menengah.

Menterinya, Fadhlina Sidek menegaskan ia juga sebahagian daripada usaha kementerian dalam menangani isu perkahwinan kanak-kanak perempuan bawah umur yang tidak mendapat akses pendidikan.

Ujarnya, sebagai pembuat dasar, pihaknya akan menangani isu ini dengan lebih objektif dan tuntas menerusi dasar yang dibuat.

“Kita melihat isu ini secara undang-undang sebab itu kita berjaya satu pindaan khususnya di Selangor, di bawah undang-undang keluarga Islam dan di beberapa negeri lain.

"Tetapi dalam masa sama, satu pelan pembangunan untuk atasi perkahwinan kanak-kanak kita kerjakan bersama. Pelan ini boleh atasi isu tersebut.

"Saya rasa isu ini perlu ditangani. Melihat kepada latar, secara objektifnya pembuat dasar tangani dalam bentuk dasar dengan lebih tuntas. Sebagai contoh, dasar pendidikan wajib sampai darjah enam.

“Ketika ini KPM komited melunaskan perkara tersebut dan sekarang ia berada dalam fasa rang undang-undang (RUU) untuk mewajibkan ia ke peringkat sekolah menengah juga.

"Sekurang-sekurangnya anak-anak ini mesti berada di peringkat sekolah wajib hingga sekolah menengah,” katanya dalam program 100 Hari Kerajaan Perpaduan sempena Hari Wanita Antarabangsa 2023 pada Rabu.

Ujarnya lagi, pihak KPM juga boleh menampung pelajar yang berkahwin pada usia muda dan ketika masih bersekolah untuk terus mendapatkan pendidikan. Ini termasuk golongan yang hamil ketika bersekolah.

Katanya, golongan kanak-kanak yang berkahwin awal tidak boleh didiskriminasi sekalipun mereka berkahwin dan hamil.

Mana-mana pelajar yang tercicir ataupun yang mempunyai halangan status untuk menuntut pendidikan di peringkat sekolah, akan dibantu oleh pihak KPM untuk terus mendapatkan akses pendidikan yang baik.

Pada masa sama, Fadhlina memaklumkan KPM akan terus mengambil pendekatan menoktahkan kemiskinan secara multidimensi terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah untuk memperkasa pendidikan awal kanak-kanak.

Ini kerana, jelasnya, isu kemiskinan di peringkat awal perlu diselesaikan untuk memastikan keadilan sosial untuk semua segmen anak-anak dapat ditangani dengan segara.

100 Hari Kerajaan Perpaduan: Pemerkasaan wanita bermula dengan pendidikan

Ikuti temu bual penuh bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.