Lebih 80 peratus responden dalam sebuah kaji selidik yang dibuat oleh akhbar tempatan, The Edge, meminta Datuk Seri Anwar Ibrahim bersara dari arena politik.

Kajian yang dibuat secara ‘online’ itu melibatkan lebih 11,000 responden di mana kira-kira 80 peratus atau lebih 9,000 daripada mereka mahukan ketua pembangkang itu berundur di atas kegagalannya menawan Putrajaya dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Manakala, kurang dari 20 peratus atau lebih kurang 2,000 responden pula masih mahukan Anwar supaya terus menerajui pakatan pembangkang ke arah pilihan raya umum seterusnya.

Menurut kajian, mereka masih mahukan Anwar kerana Pakatan Rakyat (PR) telah menawan lebih kerusi berbanding PRU tahun 2008.

Soalan yang diajukan oleh The Edge ialah “Pakatan Rakyat has failed to conquer Putrajaya in GE13. Should Anwar Ibrahim step down as leader?” (Pakatan Rakyat telah gagal menawan Putrajaya pada PRU13. Patutkah Anwar Ibrahim berundur sebagai ketua?)

Dalam kaji selidik itu, 81.33 peratus telah memilih “Yes, he should call it quits as he has made his pledge” (Ya, dia patut berundur kerana dia telah berjanji), dan 18.67 peratus pula telah memilih “No, he should continue to lead PR to the next GE as PR has won more seats than previous election” (Tidak, dia patut terus memimpin PR dalam PRU akan datang kerana PR telah memenangi lebih kerusi berbanding pilihan raya sebelum ini).

Sebulan sebelum PRU13, Anwar telah mengumumkan akan berundur dari politik dan akan meneruskan minatnya untuk mengajar jika PR gagal membentuk kerajaan Persekutuan.

Namun, selepas gagal menawan Putrajaya, beliau kemudiannya telah mengumumkan akan “terus berjuang membela rakyat Malaysia” berikutan dakwaannya berlaku penipuan dalam PRU13.

Pada Mei 8 pula, beliau telah mengadakan satu perhimpunan melibatkan puluh ribuan peserta berpakaian hitam bagi membantah keputusan PRU13.

Perhimpunan tersebut telah diadakan di Stadium Kelana Jaya di mana peserta yang melimpah dari stadium telah menyebabkan kesesakan lalu lintas yang amat teruk.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang juga telah merestui supaya Anwar kekal menjadi Ketua Pembangkang dalam Dewan Rakyat meskipun partinya telah memenangi lebih kerusi berbanding PKR.

Menurut Lim, ia adalah persetujuan dari pakatan itu setelah DAP memenangi 38 kerusi, PKR 30 kerusi dan Pas 21 kerusi dalam PRU13.