KUALA LUMPUR: Kajian daripada firma penyelidikan pasaran, Ipsos Malaysia mendapati majoriti rakyat Malaysia berpendapat ekonomi negara akan pulih sepenuhnya dalam dua atau tiga tahun akan datang.

Berdasarkan kajian tersebut, 44 peratus daripada responden berpendapat sedemikian manakala 36 peratus daripadanya menjangkakan tempoh lebih lama, lebih tiga tahun.

Sementara itu, 17 peratus daripada responden berpendapat Malaysia akan pulih dalam tempoh setahun dan hanya tiga peratus berasakan ekonomi negara sudahpun pulih.

Kajian secara dalam talian tersebut melibatkan 21,053 orang dewasa berumur 18 tahun hingga 74 tahun melibatkan 29 buah negara.

Keputusan kajian melibatkan rakyat Malaysia dilihat selari dengan sentimen global namun berbeza dengan 28 negara lain, majoriti rakyat China pula berpendapat ekonomi mereka sudah pulih.

Kajian tersebut mendapati 56 peratus rakyat China berpendapat ekonomi negara mereka sudah pulih sepenuhnya dengan hanya tiga peratus berpendapat ia akan pulih dalam masa tiga tahun atau lebih.

Kajian sama juga mendapati majoriti rakyat Malaysia percaya kerajaan mampu memacu negara ke arah pemulihan namun di Amerika Syarikat, mereka percaya syarikat perniagaan yang akan membantu mereka untuk pulih.

Keyakinan kepada kerajaan Malaysia jauh mengatasi keyakinan rakyat di negara lain dengan secara globalnya, hanya 34 peratus responden yakin dengan kemampuan kerajaan negara mereka.

Dalam pada itu, sebilangan besar rakyat Malaysia berpendapat perniagaan baharu, lebih banyak peluang pekerjaan dan kehadiran pelancong menjadi petunjuk jelas bahawa negara sudah semakin pulih.