Kakitangan positif COVID-19, Pejabat Jabatan Perbendaharaan MBPP ditutup tiga hari

Dewi Nur Harasha Alias
Disember 10, 2020 08:51 MYT
Pejabat Jabatan Perbendaharaan MBPP di tingkat 15 Komtar di George Town ditutup selama tiga hari mulai hari ini. - Gambar fail
GEORGE TOWN: Seorang kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di Pulau Pinang dikesan positif wabak COVID-19.
MBPP dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan kakitangan di Jabatan Perbendaharaan itu disahkan positif petang semalam.
Susulan itu, Pejabat Jabatan Perbendaharaan MBPP di tingkat 15 bangunan Komtar di sini diarah tutup selama tiga hari mulai hari ini.
Semua kerja-kerja sanitasi telah dilaksanakan pada pukul 7.30 malam semalam di pejabat, surau, tandas, kaunter dan tempat-tempat yang sering disentuh dan dikunjungi ramai di tingkat berkenaan.
"MBPP menerima panggilan daripada seorang staf Jabatan Perbendaharaan kira-kira jam 5 petang semalam yang memaklumkan dirinya sah positif COVID-19.
"Tarikh terakhir staf tersebut hadir ke pejabat adalah pada 4 Disember, dia telah diberikan kebenaran untuk bekerja dari rumah pada 7 Disember setelah anaknya positif COVID-19," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan, pihak pengurusan juga telah menyerahkan nama 15 kakitangan yang mempunyai kontrak rapat dengan kakitangan berkenaan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang.
"Seramai 10 staf telah dipanggil untuk menjalani ujian saringan hari ini dan bakinya akan dipanggil dalam masa terdekat.
"Kontak rapat yang dikenal pasti diarahkan untuk bekerja dari rumah sehingga arahan selanjutnya dikeluarkan," katanya.
Selain itu, sanitasi juga turut dijalankan di Bahagian Hasil MBPP semalam bagi memastikan perkhidmatan MBPP tidak tergendala.
Sehubungan itu, MBPP menggalakkan orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan dalam talian sedia ada bagi berurusan dengan MBPP.
#COVID-19 #ujian saringan #MBPP #positif COVID-19 #kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang