Beliau memberi reaksi tersebut menjawab mengenai modal pembangkang yang menyifatkan pembangunan di Pelangai tidak sepadan dengan statusnya sebagai kawasan menteri besar selama lapan penggal.
Menurutnya, penting untuk memastikan calon BN, Datuk Amizar Abu Adam berjaya mengekalkan kerusi DUN tersebut untuk terus menambah baik keperluan warga Pelangai.
"Kalau (pimpinan wakil rakyat) kerajaan, di kawasan luar bandar selama lapan penggal begini keadaannya, maka kalau pembangkang (yang pimpin) 80 penggal lagilah tiada (pembangunan) dan keadaannya lebih teruk.
"Pembangkang tak boleh lakukan apa-apa pun untuk membangunkan dan menambah kemajuan di Pelangai. Itu fakta yang perlu diterima rakyat.
"Jadi penting memastikan kesinambungan wakil rakyat Pelangai daripada BN yang akan menambah dan meningkatkan lagi pembangunan di sini," katanya ditemui pada Program Sembang Santai Perpaduan di Kampung Hayat, di sini semalam.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan calon Perikatan Nasional (PN) PRK Pelangai, Kasim Samat menyifatkan penduduk DUN itu sepatutnya menikmati perubahan pembangunan yang lebih besar sejak kepimpinan Tan Sri Adnan Yaakob lagi.
Adnan yang juga bekas pemimpin UMNO telah berkhidmat selama 36 tahun sebagai ADUN Pelangai, dan 19 tahun sebagai Menteri Besar Pahang.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, beliau yakin kepimpinan yang berbeza bagi negeri Pahang dan DUN Pelangai ini khususnya bakal memberi impak berbeza bagi pembangunan di Pelangai.
"Tentulah di bawah pimpinan baharu iaitu Menteri Besar (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail) dan ADUN yang berbeza, tentu caranya berbeza sebab mereka bukan orang yang sama," katanya. - Sinar Harian