GEORGE TOWN: Lebuh Armenian di bandaraya ini antara lokasi tumpuan pelancongan yang sangat popular di Pulau Pinang.

Namun situasi yang dahulunya meriah dengan aktiviti pelancongan serta perniagaan kini sepi meskipun negeri itu berada di Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) disebabkan larangan rentas negeri masih berkuatkuasa.

Tinjauan Astro AWANI mendapati aktiviti pelancongan di negeri itu masih belum rancak walaupun kebenaran rentas daerah dibenarkan.

Suasana di kawasan itu sunyi dan lengang dengan hanya kehadiran segelintir pengunjung tempatan malah hanya beberapa gerai minuman dan kedai kraftangan dibuka.

Menurut peniaga, suasana sepi meskipun pada hari minggu namun mereka tetap menjalankan perniagaan dan berharap aktiviti perniagaan dan pelancongan di kawasan itu akan segera pulih selepas ini.

“Bisnes memang teruk, sangat perlahan (sedangkan) sini tempat tumpuan pelancong (disebabkan) tiada sesiapa pun pun yang boleh rentas negeri, pelanggan kami sangat kurang,” kata Adnan Rabbani.

Sementara itu, beberapa pengunjung juga mengakui suasana di kawasan tumpuan pelancongan itu tidak semeriah dahulu sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Bagi Noor Asmah Asari, Lebuh Armenian pada masa ini bukan lagi seperti kawasan pelancongan kerana suasananya sangat sunyi sepi.

Justeru, Noor Asmah mengharapkan, apabila proses vaksinasi dalam kalangan orang dewasa di negara ini sudah mencecah 90 peratus, keadaan akan kembali pulih seperti sediakala.

“Harap-harap lepas 90 peratus (suntikan vaksinasi) kawasan ini akan meriah semula dan pegunjung akan datang seperti sebelum-sebelum ini,” ujar Noor Asmah yang juga seorang penjawat awam.

Harapan yang sama disuarakan Siti Aisyah Ahmad Salam yang juga kakitangan kerajaan agar kawasan-kawasan pelancongan di Pulau Pinang akan kembali ‘bernyawa’ selepas proses vaksinasi mencapai sasaran.

“Apabila belum capai vaksinasi penuh, maka kesannya pada semua… disebabkan PKP banyak kedai tak boleh beoperasi kerana ada juga kakitangan yang belum dapat vaksin penuh,” kata Siti Aisyah.

Dalam masa sama, mereka berharap aktiviti pelancongan akan kembali meriah selepas kerajaan membenarkan rentas negeri kelak.