KUALA LUMPUR: Malaysia berisiko menghadapi keadaan seperti 'tsunami COVID-19' di India, demikian tegas Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan itu memaklumkan Kementerian Kesihatan (KKM) ketika ini menjadi benteng terakhir dalam mengekang pandemik COVID-19.

Dr Noor Hisham mengingatkan semua pihak, sekiranya benteng tersebut ‘roboh’, Malaysia berhadapan risiko lebih banyak kematian akibat pandemik itu.

"Kita mempunyai risiko untuk (keadaan) menjadi seperti 'tsunami COVID-19' di India. Tetapi persoalannya, bila? Raya ini mungkin menjadi pencetusnya.

"Kita berada pada titik genting. Kita bekerja siang dan malam sejak 16 bulan lalu," kata beliau.

Tambah Dr Noor Hisham, sebanyak 47 kluster melibatkan 6,100 kes indeks daripada aktiviti perjalanan rentas negeri dan daerah direkodkan sejak 7 Disember tahun lalu.

Dr Noor Hisham ketika dihubungi melalui WhatsApp turut menjelaskan keadaan melibatkan Kluster Pasai di Sarawak.

Katanya, ses itu dikesan berpunca daripada ‘super spreader’ yang merebak ke Sibu dan Bintulu, yang akhirnya menjangkiti 2,696 orang di 58 rumah panjang dan mengakibatkan 29 kematian.

"Seorang wanita Iban yang bekerja di sebuah syarikat elektronik di Johor Bahru pulang ke Sibu. Ujian saringan pertama menunjukkan wanita itu negatif, seperti kes lelaki dalam Kluster Sivagangga.

"Dia mesti menjalani kuarantin tetapi disebabkan bapanya meninggal dunia, maka dia dikuarantin di rumah panjangnya," katanya.

KKM hari ini melaporkan sebanyak 4,855 kes harian baharu menjadikan jumlah kumulatif kes di Malaysia mencecah sebanyak 458,077 kes.

Daripada jumlah tersebut, Selangor merekodkan kes harian paling tinggi iaitu sebanyak 1,783 kes.