PUTRAJAYA: Jemaah Menteri hari ini telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, bagi mempersembahkan cadangan-cadangan mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah Allah kepada Majlis Raja-Raja.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia bagi mencapai penyelesaian secara menyeluruh mengenai isu penggunaan kalimah Allah.

“Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini telah membincangkan keputusan Peguam Negara untuk menarik balik rayuan terhadap kes Jill Ireland berhubung bahan penerbitan yang mengandungi kalimah Allah.

“Jemaah Menteri mengambil maklum bahawa keputusan yang dibuat hanya berkisar soal pentadbiran dan tidak merubah ketetapan Mahkamah Persekutuan pada tahun 2014.

“Bagi menyelesaikan isu ini secara menyeluruh dan bersepadu, Jemaah Menteri pada hari ini telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan cadangan-cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah ‘Allah’ kepada Majlis Raja-Raja, dan pada masa yang sama memperkukuh perpaduan dan keharmonian di antara kaum dan agama di Malaysia,” jelasnya dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Jelas Anwar, kerajaan menghormati, memperakui dan menerima pakai ketetapan enakmen negeri-negeri dan titah Yang di-Pertuan Agong pada 7 Februari lalu yang menzahirkan agar dikekalkan dasar sedia ada yang sedang berkuat kuasa berhubung isu penggunaan kalimah Allah.

“Kerajaan akan senantiasa mempertahan Perlembagaan Persekutuan terutama Perkara 3 berhubung agama Islam adalah agama Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai,” jelasnya lagi.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan keputusan Kerajaan Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengenai penggunaan kalimah Allah, baitullah, solat dan Kaabah baru-baru ini disebabkan berlaku percanggahan arahan pentadbiran KDN dan Kabinet pada tahun 1986.

Kerajaan KDN pada Selasa menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah, baitullah, kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman berkenaan difailkan Pejabat Peguam Negara pada 18 April lalu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya.

Pada 10 Mac 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penganut Kristian seluruh negara menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan pendidikan agama itu.

Selain perkataan Allah, tiga lagi perkataan lain yang dibenarkan ialah baitullah, kaabah dan solat.

Bagaimanapun ia perlu disertakan dengan penafian, "Hanya untuk orang Kristian" dan lambang salib di hadapan kulit buku.

Pada 11 Mei 2008, cakera padat (CD) berjudul "Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah", "Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah" dan "Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah" telah dirampas daripada Jill sebaik beliau tiba di lapangan terbang di Sepang.

Susulan itu, Jill memfailkan semakan kehakiman untuk menuntut semula CD itu dan relif hak perlembagaannya untuk mengamalkan agamanya dilanggar dengan menyekat atau melarang pengimportan bahan pendidikan.

Pada 2014, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Jill dan memerintahkan agar kesemua lapan CD itu dipulangkan, namun tidak membuat sebarang penghakiman mengenai relif-relif lain yang dimohon.