Amanah Perak tidak tergugat dengan pembubaran Bersatu Negeri Sembilan dan menyatakan parti tersebut masih kukuh di bawah Pakatan Harapan.

Pengerusinya, Asmuni Awi berkata, berita pembubaran Bersatu Negeri Sembilan tidak memberi sekarang kesan kepada ahli Amanah kerana yakin partinya itu cukup kukuh di negeri ini.

"Amanah Perak cukup sihat dan tidak ada apa-apa masalah dengan kerajaan negeri walaupun ramai cakap Harapan akan bertahan tiga bulan sahaja.

"Sekarang sudah berapa bulan kita teraju negeri ini dan kami parti-parti di bawah Harapan Perak macam adik-beradik," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Geran Program Peningkatan Keupayaan PKS Bumiputera (BEEP) di Hotel M Roof, di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pembubaran Bersatu Negeri Sembilan selepas dikatakan mempunyai pelbagai masalah sejak mula ditubuhkan.

BACA: Bersatu Negeri Sembilan bubar, masalah dalaman antara punca - Muhyiddin

BACA: Rais sedia galas tugas pulihkan Bersatu Negeri Sembilan


Tambahnya, kekuatan sesebuah parti itu bergantung kepada sikap kepimpinan yang tidak mudah melatah termasuk ahlinya.

Sementara itu, seramai 12 usahawan di bawah program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (Tube) Perak menerima geran BEEP daripada SME Corp Malaysia.

Asmuni yang juga Exco Kerajaan Negeri berkata, seramai 400 orang usahawan Tube dilahirkan di negeri ini sejak 2014.

"Kerajaan negeri berharap program seumpama ini dapat diteruskan akan datang selain kita turut merancang untuk membawa usahawan yang berjaya mengadakan pameran di luar negara," katanya.