KUALA LUMPUR: Keluarga Tun Dr Mahathir Mohamad sudah berinteraksi dengan beliau yang masih dirawat di Institut Jantung Negara (IJN), kata anaknya, Datin Paduka Marina.

Justeru, katanya, mereka berharap orang ramai tidak mengendahkan khabar angin yang disebarkan oleh sumber-sumber yang tidak sahih mengenai keadaan Dr Mahathir.

"Bagi pihak Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, kami sekeluarga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, di dalam dan luar negara, yang telah menganjurkan majlis doa selamat dan bacaan Yasin dan juga orang ramai dari pelbagai agama yang telah mengirim doa serta ucapan agar Tun Dr Mahathir cepat sembuh.

“Kami juga berharap agar orang ramai tidak mengendahkan khabar angin yang disebarkan oleh sumber-sumber yang tidak sahih," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.


Katanya, IJN dan keluarga Dr Mahathir akan mengeluarkan kenyataan dari semasa ke semasa mengenai perkembangan rawatan bekas Perdana Menteri itu.

Terdahulu, Dr Mahathir dilaporkan berada di Rawatan Rapi Koronari, IJN dan berada di bawah pemantauan rapat oleh pakar perubatan di situ.

Sebelum ini, beliau dimasukkan ke IJN bagi menjalani prosedur perubatan elektif pada Jan 7 lalu sebelum dibenarkan pulang pada 13 Januari.