KUALA LUMPUR: Satu gerakan yang dikenali sebagai #KamiMalaysia dilancarkan bagi menuntut dan menawarkan penyelesaian terhadap kemelut yang berlaku dalam negara termasuk berkait dengan situasi politik dan pandemik COVID-19.

Gerakan yang terdiri daripada rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama, merentas fahaman politik serta pegangan ideologi itu menuntut sekurang-kurangnya sembilan pembaharuan yang bersifat overhaul politik.

Jurucakap #KamiMalaysia, Datuk Mohd Nizam Mahshar berkata, ia termasuk menuntut agar jemaah Menteri yang dilantik mestilah dalam bentuk yang kecil dengan portfolio yang perlu sahaja.

Selain itu, pelantikan bukan atas dasar keahlian dalam parti, sebaliknya kebolehan dan merit, selain mempunyai rekod yang bersih, tambahnya.

"Jemaah Menteri hendaklah mempunyai keberanian dan keikhlasan, dan dengan segera menubuhkan sebuah Majlis Khas Kecemasan Pemulihan Negara untuk menangani isu pandemik hari ini dan kesan-kesan lain kepada negara.

"#KamiMalaysia mencadangkan ahli-ahli majlis tersebut mestilah terdiri sepenuhnya daripada bukan kepimpinan mana-mana parti politik serta bukan ahli Dewan Rakyat, sebaliknya 100 peratus darioada kalangan figura berwibawa, teknokrat, profesional, akademia, pakar bidang, serta  pemimpin gerakan sivil termasuk wakil-wakil pegawai kerajaan kanan dari sektor-sektor yang berkaitan, terutamanya Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya dalam satu kenyataan.

Antara yang menyokong gerakan tersebut ialah Pengasas bersama Concerned Lawyers for Justice, Aidil Khalid; Pemangku Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Fahami Ashrof Badaruddin; serta Presiden Persatuan Pengajar Kewartawanan Malaysia (MJTS), Profesor Datuk Ahmad Murad Merican.

Turut mendokong gerakan tersebut Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk  Hussamuddin Yaacub, Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),  Prof. Datuk Seri Awang Sariyan; serta Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

BACA: Ismail Sabri mulakan tugas secara rasmi sebagai PM hari ini

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Agong perkenan Ismail Sabri sebagai PM ke-9

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan selepas Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerima surat akuan seramai 114 Ahli Dewan Rakyat sekali gus mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Mengulas lanjut, Mohd Nizam berkata #KamiMalaysia turut menuntut agar semua ahli politik melaksanakan moratorium politik secara total.

"Moratorium politik yang berkesan tidak akan dapat dilaksanakan selagi kita tidak keluar dari kerangka politik yang berkisar kepada kepartian.

"Justeru proses pelantikan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri baharu seperti yang lazim diamalkan sebelum ini yang berdasarkan kepada perbincangan dalam kalangan parti-parti komponan dalam kerajaan, berkemungkinan bukanlah jalan keluar terbaik di saat pandemik ini, memandangkan proses perebutan kuasa akan sentiasa berlaku nanti.

"Tuntutan dan tawaran penyelesaian yang bersifat overhaul politik ini datangnya dari gabungan aktivis, akademia, rakyat akar-umbi, pimpinan perniagaan dan korporat, masyarakat sivil, pemimpin masyarakat dan belia, serta ulama serta kepimpinan agama," katanya. 

#KamiMalaysia juga katanya yakin dengan adanya majlis yang tidak melibatkan ahli politik, mereka akan lebih fokus dan secara professional dapat menumpukan penyelesaian kemelut negara daripada sibuk berebut kuasa politik.

Katanya lagi, dasar dan polisi negara boleh ditentukan sepenuhnya secara profesional oleh pakar-pakar yang dilantik di dalam majlis tersebut.

"Bagi tujuan semak dan imbang, Jemaah Menteri mestilah meletakkan kepercayaan penuh kepada pakar-pakar tersebut dengan membentangkan cadangan-cadangan dari majlis tersebut untuk dibahaskan di Parlimen.

"Cabang kehakiman mesti terus dibiarkan bebas dari mana-mana gangguan, sebagai satu lagi semak dan imbang terhadap kedaulatan undang-undang dan Keluhuran Perlembagaan.

Antara harapan dan tuntuan lain termasuk:

- Menyeru warga Malaysia untuk mengambil pelajaran dari episod kekalutan politik hari ini dan menggerakkan secara bersama satu gerakan warga Malaysia untuk merubah budaya politik dan sistem kepartian yang ada pada hari ini, ke arah mencari  wakil-wakil rakyat yang benar-benar ingin memberi khidmat kepada rakyat dan negara dan bukan untuk kepentingan peribadi semata-mata pada pilihanraya akan datang.

- Berharap gelombang kesedaran rakyat dapat dibina untuk mewujudkan muka-muka baharu dalam kepimpinan negara masa hadapan dengan meletakkan syarat ketat bahawa mereka adalah dalam kalangan mereka yang mempunyai nilai, keilmuan, integriti, moral dan kredibiliti dan tidak terpalit dengan kes-kes mahkamah, aktiviti rasuah, salah guna kuasa dan pelbagai skandal.

- Menyeru agar kesemua rakyat Malaysia dapat sama-sama menyokong naratif baharu politik dan kepimpinan agar dapat dibebaskan dari belenggu sistem kepartian sempit dan membawa budaya politik baharu berteraskan nilai dan integriti untuk kebaikan rakyat dan negara.