NIBONG TEBAL: Polis mengawal ketat laluan masuk ke Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung di Ladang Byram, Nibong Tebal susulan kawasan itu diisytiharkan kawasan bencana tahap satu.

Kawalan dilakukan bagi memastikan pihak yang tidak berkaitan memasuki kawasan tersebut selain pekerja dan agensi yang terlibat.

Selain itu, pemantauan dan kawalan keselamatan turut diadakan di dua penempatan penduduk iaitu di Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru selepas semua penduduk di situ diarahkan berpindah sejak Ahad lalu.

Tinjauan di dua kampung berkenaan yang terjejas dengan kebakaran Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung sepi kerana ramai mematuhi arahan berpindah kerana lokasi yang tercemar itu  tidak sesuai untuk didiami buat sementara waktu.

Kebanyakan penduduk menumpang sementara di rumah saudara mara mereka dan hanya 45 penduduk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang terletak dalam radius 20 kilometer dari lokasi kebakaran.

Bagaimanapun wakil media tidak dibenarkan masuk untuk menemui penduduk yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Saujana Indah yang dijadikan PPS.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Kebun Baru, Nur Syakila Abdullah ketika dihubungi memberitahu suasana kampung sepi kerana ramai penduduk keluar dan menumpang di rumah saudara mara selepas kejadian lapan hari lalu.

Ujarnya, dia dimaklumkan sudah empat kali tapak pelupusan sampah tersebut terbakar dan kali ini paling teruk hingga menyebabkan penduduk terpaksa berpindah ke tempat lain.

BACA: Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung diisytihar kawasan bencana tahap satu - Polis

BACA: Kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung, penduduk berhampiran mula berpindah

Sementara itu, penduduk Kampung Kebun Baru, Mohd Azhar Shabudin, 37, ketika dihubungi berkata pihak berkaitan perlu mengkaji untuk memindahkan tapak pelupusan sampah Pulau Burung ke tempat lain agar tidak menjejaskan penduduk jika berlaku kebakaran.

Sekiranya tidak boleh dipindahkan, pengurusan tapak tersebut perlu mengkaji sistem pelupusan sampah yang lebih berkesan supaya tidak menjejaskan kesihatan orang kampung.

Rabu lalu, 6.5 hektar daripada keseluruhan 16.2 hektar tapak pelupusan sampah Pulau Burung terbakar menyebabkan 400 penduduk diarahkan berpindah kerana dikhuatiri terdedah kepada gas beracun manakala tapak yang terbakar diisytihar sebagai kawasan bencana tahap satu.

Selain itu, 10 buah sekolah yang terletak dalam lingkungan 10 kilometer dari tapak berkenaan turut ditutup selama tiga hari bermula kelmarin.