LABUAN: Lebih 20 kampung dan beberapa kawasan taman perumahan di pulau bebas cukai ini terjejas teruk akibat terputus bekalan air sejak Isnin lepas setelah pam air utama rosak susulan gangguan bekalan elektrik.

Kawasan terjejas ialah Kiamsam melibatkan Kampung Bebuloh, Kampung Belukut, Kampung Sungai Buton, Kampung Sungai Bedaun dan Taman Mahkota Impian di Jalan Bukit Timbalan; Layangan meliputi Kampung Layangan, Kampung Sungai Labu, Kampung Kilan, Kampung Bukit Kuda, kawasan di Kampung Bukit Kalam.

Turut terjejas ialah Kampung Durian Tunjong, beberapa kawasan di Jalan Penghulu Tuah, Kampung Lajau, Kampung Ganggarak, Kampung Merinding, Kampung Pohon Batu, Pancur Hitam, Kampung Batu Manikar, Tanjung Kubong, Lubok Temiang dan kawasan di sekitar Pohon Batu.

Ketua Bahagian Bekalan Air Labuan (BBAL) Trinil Indah Puspita berkata semakan terperinci oleh Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) mendapati berlaku kejadian percikan elektrik pada panel elektrik papan kawalan utama di stesen pam utama Pulau Enoe.

"Kejadian tidak dijangka ini di luar kawalan kami dan usaha telah dilakukan untuk mempercepat pemulihan bekalan air ke kawasan terjejas, namun tidak berhasil kerana masalah panel elektrik masih belum selesai.

"Kami menjangkakan masalah itu akan selesai lewat petang ini dan kami akan mula mengepam bekalan air ke tangki pengimbang yang terletak di beberapa kawasan di pulau ini," katanya kepada Bernama hari ini.

Trinil berkata pengguna di Kiamsam, Pohon Batu dan Layangan dijangka menerima bekalan air penuh dalam tempoh dua hari dan pengguna yang memerlukan bekalan air dengan segera diingatkan menghubungi BBAL.

Sementara itu, pengguna meluahkan keresahan dan kekecewaan mereka dalam pelbagai platform media sosial, yang kebanyakan mereka terpaksa membeli air botol di pasar raya kerana menjangkakan gangguan bekalan itu akan berlarutan selama beberapa hari.

-- BERNAMA