Kanak-kanak 10 tahun maut dirempuh dua motosikal

Sharom Abu Bakar
Januari 19, 2018 22:08 MYT
Seorang murid tahun empat maut dirempuh dua motosikal berhampiran bangunan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), dalam kejadian pada Jumaat. Foto Astro AWANI
Seorang murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Chukai maut selepas basikal yang ditunggangi dirempuh dua motosikal.
Ia berlaku di kilometer satu, Jalan Chukai-Air Putih berhampiran bangunan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), kira-kira jam 8 malam Jumaat.
Mangsa, Muhammad Adib Ashraf, 10, dari Taman Seri Pauh menghembuskan nafas terakhir ketika dirawat di Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Kemaman.
Anak sulung tiga beradik itu dikatakan sedang berbasikal melintas jalan untuk pulang ke rumah selepas meminjam buku teks kawan sekelasnya di Kampung Gong Limau.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila dua motosikal masing-masing jenis Honda EX5 yang ditunggangi remaja lelaki berusia 16 tahun dan motosikal Yamaha 125-Z yang ditunggangi pemuda berumur 25 tahun gagal menggelak lalu melanggar mangsa yang sedang menyeberangi jalan.
Mangsa kemudiannya tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah di kepala dan badan sebelum dikejarkan ke Hospital Kemaman.
Manakala dua penunggang motosikal cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di hospital sama.
Kes disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Jenazah mangsa dituntut keluarga kira kira jam 12.10 tengah malam semalam untuk dikebumikan.
#Ketua Polis Daerah Kemaman #maut dirempuh #Muhammad Adib Ashraf #murid #Sekolah Kebangsaan SK Chukai #Superintendan Mohd Said Ibrahim