Kanak-kanak 11 tahun tunggang motosikal maut terperosok bawah ambulans

Nazialita Geynna Maharan
Oktober 29, 2017 05:35 MYT
Keadaan motosikal yang terperosok ke bawah ambulans hingga meragut nyawa penunggangnya, seroang kanak-kanak. - JBPM/PDRM
Seorang kanak-kanak lelaki maut manakala tiga cedera termasuk dua pegawai perubatan dalam kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan ambulans di Jalan Kg Senduk Tengah, dekat sini pada tengah hari Ahad.
Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Taiping berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian tersebut sekitar 11.11 pagi dan bergegas ke lokasi insiden.
“Sebaik sahaja tiba di lokasi, pihak BBP Taiping mendapati seorang mangsa dipercayai penunggang motosikal berusia 11 tahun, terperosok di bawah ambulans, dan telah dikeluarkan oleh orang awam.
“Kanak-kanak lelaki itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir dan pembonceng motosikal iaitu seorang kanak-kanak berusia 12 turut mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Jelasnya, pemandu ambulans dan pegawai perubatan yang berada di dalam ambulans berkenaan turut mengalami kecederaan.
Tambah beliau, anggota BBP Taiping kemudian telah bertindak mengangkat mangsa cedera ke dalam ambulans dan menyerahkan mangsa yang meninggal dunia kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya.
“Operasi yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Izuan Che Ibrahim itu tamat sekitar 11.48 pagi,” ujarnya lagi.
#Ambulans #Kanak-kanak #kemalangan #maut #Taiping